Wednesday, March 28, 2012

Berehat Seketika.....





Hujan pagi ini . Pastinya hujan rahmat agar saya berehat seketika pagi ini. Rancangan utama hari ini ialah hendak mencuci bahagian luar rumah terutama di tempat parking kereta yang agak kotor dengan rumput-rumput yang berterbangan setelah kerja-kerja pemotongan rumput oleh pekerja pihak perbadanan putrajaya selesai petang kelmarin. Nampaknya esok saja saya laksanakan, itupun bergantung dengan cuaca. jadi pagi ini boleh saya mengupdate blog yang telah lama terbiar sepi ini.....


Dulu,sewaktu masih bekerja saya selalu beranggapan seorang surirumah sangat bertuah kerana ada banyak masa untuk berehat di rumah. Dan kini bila saya sendiri memegang title surirumah,barulah saya tahu betapa penatnya seorang yang bergelar surirumah dengan tugasan rumah yang tidak pandai habis. Saya tidak tahu, adakah ia berlaku pada semua suri rumah, tetapi saya percaya didikan arwah emak saya pada anak-anak perempuannya agar sentiasa menjaga kebersihan sejak dari kecil itu melekat hingga ke hari ini. Saya masih ingat, saya, kakak dan adik perempuan saya di ajar mencuci pakaian satu keluarga secara manual, menyidai pakaian, mengambil dari ampaian ,melipat pakaian,menyapu lantai setiap pagi dan petang, memasak makanan yang mudah dan mencuci semua pinggan mangkuk setelah selesai satu keluarga makan.
Nampaknya ia amat berkesan. Latihan dari kecil melatih seorang wanita itu tahu akan tugasan sebenar seorang surirumah. Dan itulah rutin saya setiap hari...Belum lagi mengambil kira tugasan sebagai "guru" pada sebelah malam...duduk bersama anak-anak mengulangkaji pelajaran,memeriksa buku-buku latihan mereka...dan sesekali memarahi mereka jika ada sebarang kecuaian dalam menjawab soalan.


Menjadi pengurus anak-anak dan rumah tangga sememangnya menjadikan diri saya seorang yang sibuk.Namun kesibukan itu memberikan saya kebahagiaan kerana segalanya saya buat sendiri dengan kudrat yang ada.Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik pada saya untuk saya melaksanakan tugasan ini dengan sebaiknya..