Thursday, March 24, 2011

Umrah Mac 2011 (Part 1)


Assalamualaikum kepada semua ahli keluarga,sahabat dan jua pengunjung blog ini. Semoga semuanya dirahmati Allah SWT.

Saya serta suami dan ibu mertua(mak) selamat tiba di tanahair petang semalam dengan penerbangan Gulf Air. Setelah 13 hari 12 malam berada di Tanah Haram Mekah dan Madinah untuk mengerjakan umrah. Kami pergi menggunakan khidmat Poto Travel, jadi dalam kumpulan saya ada seramai 40 orang semuanya. Urusan visa semua telah diuruskan oleh pihak mereka,begitu juga dengan penerbangan,hotel,makan minum dan pengangkutan di semasa di sana.Visa suami saya adalah yang paling lambat diproses kerana suami bertugas di luar negara jadi proses penyerahan passport kepada pihak Poto travel lambat, namun akhirnya 9 hari sebelum berangkat ke tanah suci, suami sempat menyerahkan pasportnya untuk pemerosesan visa. Syukur tak terhingga kepada Allah.Rupanya memang sudah dalam perancanganNya,kami suami isteri akan berangkat bersama-sama ke sana.Terima Kasih Ya Allah.


Suasana di keheningan pagi di Masjid Nabawi.

Madinah Al-Munawarrah


Bumi Madinah sungguh sejuk dan dingin sekali. Saki baki musim sejuk masih lagi terasa.Keletihan dalam penerbangan selama 7 jam dari Kuala Lumpur ke Bahrain (transit 4 jam di Bahrain) dan terbang lagi selama 2 jam dari Bahrain ke Madinah, bagaikan hilang bila kaki memijak bumi Madinah di mana bersatunya tanah Madinah ini dengan jasad Rasulullah saw.Malam itu pemeriksaan Imigresen berjalan lancar walaupun terpaksa beratur panjang dengan jemaah dari negara lain.Alhamdulillah,segalanya dimudahkan.Kumpulan kami bergerak menggunakan bas menuju ke Hotel Elaf Taibah. Di samping disediakan seorang tour leader, bersama kami juga ada seorang muttawir yang memang telah sedia menunggu kami di Madinah. Beliau yang kami panggil ustaz hanyalah seorang pelajar Indonesia yang masih belajar dalam jurusan Syariah di salah sebuah sekolah di Kota Mekah. Ustaz inilah yang akan membawa kami semasa ziarah dan memberi tunjuk ajar dalam umrah wajib kelak.
.(nak jadi muttawir bukan senang kerana selain kena tahu tentang ilmu agama,dia juga kena tahu tempat-tempat bersejarah dan apa cerita di sebalik sejarah itu...lebih kurang macam pemandu pelancong jugalah)


Pada malam itu,kami dinasihatkan untuk berehat di hotel kerana telah melalui perjalanan yang panjang tetapi kami bertiga iaitu saya,suami dan mak ada agenda tersendiri.Masjid Nabawi yang bersebelahan dengan hotel bagaikan memanggil-manggil. Selesai makan malam dan membersihkan diri,kami bertiga menunaikan solat jamak takhir magrib isyak di Masjid Nabawi. Masjid Nabawi yang besar itu ada banyak pintu dan kebanyakan pintu sudah lama ditutup kecuali pintu-pintu khas yang memang telah disediakan untuk laluan mereka yang ingin beramal ibadat dari tengah malam hingga ke fajar.Kami bertiga berpecah, suami pergi ke tempat solat lelaki manakala saya dan mak menuju ke tempat solat perempuan(dalam hati masa tu teragak-agak)...memang tak jumpa pintu..akhirnya kena bertanya...bertanya pulak pada orang arab (tak jumpa orang kita atau Indonesia time tu) saya cakap English,but they cannot understand me...cakap melayu apatah lagi...Dia orang balas cakap arab...terjadilah komunikasi yang sungguh luarbiasa hebat !!! Namun semangat tetap tidak luntur, semangat hendak menunaikan solat dalam masjid Nabawi masih membara,kerana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Solat di MasjidKu ini lebih baik daripada solat 1000 kali solat di tempat lain kecuali di MasjidilHaram”.


Perkarangan luar Masjid Nabawi

Akhirnya,setelah puas bercakap dengan berbahasa badan dan isyarat, saya dan mak temui jua pintu. Pintu No 25...Melangkah dengan tenang,sebak di dada tak tertahan...menjadi TetamuNya adalah perkara yang paling hebat sekali saya rasakan.Diberi peluang menjadi tetamuNya, sehabis mungkin,kami ingin manfaatkan ia dengan sepenuhnya. Mana mungkin kami bertiga solat di bilik hotel sahaja sedangkan Masjid Nabawi hanya ada di sebelah. Cahayanya terang benderang, malahan orang ramai bagaikan berkelah di perkarangan luar masjid biarpun sudah tengah malam.Bermula dari malam itu dan hari-hari seterusnya di Madinah,ketenangan bagaikan kami miliki sepenuhnya.Lupa sekejap pada wajah-wajah kecil yang saya tinggalkan di Malaysia. Saya percaya Allah SWT pasti menjaga mereka.



Makam Rasulullah saw dan dua sahabat baginda Abu Bakar dan Umar.


Tiang yang di tanda dengan kain hijau ini ialah tapak asal Masjid Nabawi yang dibina oleh Rasulullah saw di mana ketika itu hanya berbumbungkan pelepah daun tamar.

Di dalam Masjid Nabawi inilah terdapatnya Makam Rasulullah saw bersama dua sahabat rapatnya Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar Al-khattab. Begitu juga dengan Raudah,tempat ibadat yang menjadi pilihan kerana solat sunat dan berdoa di raudah pasti akan diterima Allah.InsyaAllah.Raudah adalah kawasan kecil diantara rumah Rasulullah saw dengan mimbar masjid baginda.dan ia merupakan taman syurga.Kini ruang itu ditandakan dengan menggunakan karpet hijau.


Di bawah kubah hijau inilah jasad baginda Rasulullah saw disemadikan...

Raudah dan Makam Rasulullah saw hanya bersebelahan,bermakna kalau dapat pergi ke Raudah,kita juga boleh melihat Makam tersebut.Namun 2 hari saya membuat pemerhatian, bukan mudah hendak ke Makam Rasulullah saw dan Raudah.Manusia bersesak-sesak di sana,apatah lagi kawasan itu adalah di sebelah tempat lelaki solat.


Kaun hawa hanya ada masa-masa yang tertentu sahaja untuk ke sana itupun mengikut giliran negara masing-masing.Biasanya jemaah Malaysia dan Indonesia disatukan dalam satu kumpulan.Saya amat risau sekali jika terlepas peluang ke Raudah dan Makam Rasulullah kerana kami hanya ada 3 malam 4 hari di Madinah.Suami saya amat bertuah kerana sering berpeluang solat sunat malahan solat fardhu dan berdoa di Raudah.Mungkin kerana tubuhnya yang kecil,jadi peluang untuk menyusup masuk di celahan manusia itu tinggi.Begitu juga ke Makam Rasulullah saw,suami saya selalu melintas di hadapan dan memberi salam kepada baginda.Saya dan mak mula memasang strategi sendiri.


Mimbar Rasulullah saw

Pagi itu,kami ketepikan sarapan pagi di hotel(disediakan Oleh pihak poto travel).Minum air zamzam dalam masjid sahaja.Selesai solat subuh, kami berdoa tidak putus-putus meminta dimudahkan ke Raudah. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui isi hati. Dua orang muslimah dari Turki yang bernama Sakinah dan Nurhidayat (kami bercakap guna bahasa isyarat) membantu saya dan mak dengan menunjuk arah pintu ke Raudah tapi masih ada kawalan dari polis wanita. Disitu semua jemaah duduk menunggu giliran mengikut negara masing-masing.Saya dan mak masuk dalam kumpulan dari Negara Syria. Yang menariknya mereka memberi ruang pada kami berdua dan menegur kami dengan mesra dan sopan sekali biarpun saling tidak memahami bahasa.Dalam masa yang sama, risau hati tak terkira,kerana wajah saya dan mak ialah wajah orang asia,wajah melayu..sungguh beza dengan wajah orang arab Syria .Risau jika polis mengecam muka kami berdua. Dimulut tidak putus-putus meminta padaNya agar dimudahkan.Akhirnya Berjaya juga menjejak kaki ke Raudah dan melihat makam Rasulullah saw. Malahan sebelum berangkat ke Mekah, saya dan mak berpeluang sekali lagi ke Raudah tetapi kali ini dengan saluran yang betul.Join kumpulan “melayu”.(M’sia dan Indo) tetapi memang terpaksa menunggu lamalah.


Satu perkara lagi yang ingin saya ingatkan pada mereka yang akan datang ke Masjid Nabawi, sila tinggalkan kamera dan handphone anda di bilik hotel, kerana sebelum masuk ke dalam Masjid Nabawi,Polis-polis wanita ini akan memeriksa badan dan beg anda.( Nak ambik gambar kat perkarangan luar takpe )Polis wanita ini bertugas tak kira masa...Jam 2 atau 3 pagi pun mereka sudah sedia menunggu kita di luar pintu.Siapa yang kedapatan,tidak akan dibenarkan memasuki ke dalam masjid. Dan anda hanyalah layak solat di perkarangan luar.Di luar pun bersih juga dengan lantai marmar yang berkilat.Kawasan luar yang luas ini turut menampung jemaah yang ramai terutama ketika musim haji.





To be continued....