Sunday, March 27, 2011

Umrah Mac 2011 (Siri akhir)

Salam ceria dan semoga semua sejahtera hendaknya.
Semoga semuanya berada di bawah rahmat dan redhaNya. Setelah dua entri saya yang lepas menceritakan pengalaman di Kota Madinah,kali ini saya ingin berkongsi pengalaman bila berada di kota Mekah.Saya memohon maaf jika apa yang saya sampaikan kali ini agak terbuka,saya sekadar ingin berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini...
Sebelum sampai di Tanah Haram Mekah,Mutawwir yang membawa kami mengingatkan kami akan perbezaan di antara Madinah dan Mekah.Mungkin beliau mahu kami bersedia dari segi mental. Jika di Madinah suhunya agak sejuk dengan suasana yang aman dan tenteram tetapi tidak di Mekah. Di Mekah agak panas,suasana kota yang sibuk dan sesak dengan manusia. Pada masa saya pergi kali ini, para jemaah dari negara-negara lain terutama Indonesia,Pakistan,India,Sri Lanka,Iran, Syria dan Turkey agak ramai termasuk Malaysia sendiri. Kalau keadaan ini saya katakan ramai dan sesak, entah macam manalah pula pada musim haji...manusia datang dari seluruh dunia !

Doa memasuki Tanah Haram Mekah.
"Ya Allah,Tanah Haram ini adalah Tanah Haram-Mu,dan Negeri ini adalah Negeri-Mu,dan keamanan ini adalah keamanan-Mu,maka haramkan aku dari api neraka dan amankanlah aku pada hari kelak Engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu.Ya Allah Ya Tuhan kami,berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jagalah kami dari api neraka". Amin.

Kami tiba di kota Mekah pada jam 9 malam...ketika itu,jalan raya dipenuhi dengan jemaah yang berjalan kaki yang baru keluar dari masjidil haram setelah selesai menunaikan solat fardhu isyak.Kami dibawa ke hotel dan makan malam. dalam masa yang sama kami kena menjaga pantang larang sebab masih dalam ihram. Sedikit tertekan,namun di hati tetap berdoa agar dimudahkan.Syukur alhamdulillah,semuanya berjaya diharungi sehingga kami mengerjakan umrah wajib malam itu juga.Tangisan kegembiraan tercetus jua bila berada di hadapan kaabah.Tidak pernah menduga diri yang banyak dosa ini boleh menjadi tetamuNya.Terima Kasih Ya Allah kerana menerima kedatangan kami dan menjemput kami.Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar.

Wahai ahli keluargaku,wahai sahabat-sahabatku,janganlah selalu menyimpan anggapan negatif tentang Tanah Haram Mekah inilah tempat anda menerima segala balasan atas apa jua kesalahan dan kemungkaran yang telah kita lakukan di tanahair.Saya akui banyak buku-buku diluar sana yang menceritakan perihal yang buruk yang menimpa sesetengah jemaah bila berada di Mekah,kononnya hendak memberitahu jemaah tersebut telah banyak melakukan dosa. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun,Maha Pemberi Kemaafan dan Maha Pengasih. Allah tahu apa tujuan kita datang sejauh ini dari tanahair.Semuanya kerana ingin diberi peluang merebut syurgaNya . Carilah buku-buku motivasi,yang boleh membantu menaikkan semangat kita untuk datang beribadah di Tanah Haram Mekah kerana itu yang sebaiknya dari memasang prasangka negatif.(ketika saya berada di depan komputer ini, jam azan pun berbunyi menandakan masuk waktu zohor dengan suara azan yang telah di setting azan dari masjidil haram. Suami beli semasa di sana...teringat masa ni kami sedang duduk dalam masjidil haram sambil memandang ke arah kaabah) Sebelum datang ke Tanah suci ini, saya pernah pergi menghadiri kursus (teori) umrah.teringat lagi kata-kata Ustaz Azman, bersedialah dari segi fizikal dan mental..tetapi kata-kata ini tidak pernah saya hiraukan.Bila berada di Mekah, baru saya faham apa yang beliau maksudkan.
Contohnya begini...jika seseorang itu berhajat ingin menakluki Gunung Kinabalu,sudah pasti satu bulan sebelum dia pergi, dia akan mengadakan latihan lari dan mendaki setiap hari untuk ketahanan fizikalnya. Saya pulak setakat jogging makan angin itupun sekali untuk dua minggu, kerana saya beranggapan melakukan umrah adalah ibadah yang mudah sahaja (Akui diri saya jahil). Bila sudah berada dalam kota Mekah,baru saya tahu keadaan yang sebenarnya.

Setiap jemaah yang ingin melakukan umrah,mesti keluar dari tanah haram Mekah menuju ke Tanah Halal. Untuk itu,perkhidmatan teksi amat diperlukan. (24 jam teksi sentiasa ada)Dan bayaran untuk ulangalik ialah 50 saudi Riyal (RM48).Masjid yang paling hampir dengan tanah haram ialah Masjid Taneem atau dikenali juga dengan Masjid Siti Aisyah (kerana Siti Aisyah isteri Rasulullah saw pernah bermiqad di sini setelah habis hadas dalam perjalanan hendak mengerjakan umrah) Masjid Taneem atau Masjid Siti Aisyah.

Dan teksi yang sama yang kita ambil semasa hendak pergi tadi itulah juga yang akan membawa kita semula ke Masjidil haram.(Peringatan: Bayaran teksi hanya dijelaskan bila kita sudah sampai di Masjidil Haram,maknanya teksi itu memang kena tunggu kita selesai solat sunat ihram dan bermiqad di Masjid Taneem) Kemudian terus masuk ke Masjidil Haram dan menuju ke Kaabah untuk tawaf 7 pusingan.Manusia sentiasa memenuhi Rumah Allah SWT yang satu ini.Bila terlampau ramai dan sesak, perjalanan tawaf menjadi tersekat-sekat tetapi bersabarlah.Syurga Allah itu bukan mudah...Saya,suami dan mak suka mengerjakan tawaf pada waktu malam,kononnya hendak lari dari kesesakan manusia pada waktu siang tetapi sangkaan itu meleset sama sekali...siang atau malam tiada bezanya,manusia tetap ramai...cuma malam tidak panas (mungkin ini alasan yang lebih sesuai) Ramai manusia tawaf pada malam hari.

Bagi saya 9 malam di Tanah Haram Mekah,Umrah boleh dilakukan berkali-kali sama ada untuk diri sendiri atau diniatkan untuk orang lain. Semuanya atas kekuatan dan kemahuan kita.Namun paling baik,ambillah peluang sehabis-habisnya di Tanah suci ini untuk beribadah kerana kita datang dari jauh bukan untuk sesuatu yang sia-sia...peluang yang Allah beri,belum tentu akan ada lagi setiap tahun-tahun mendatang.Memang penat..tidak cukup tidur(masa di Mekah berlalu dengan cepat)tetapi inilah yang sebaiknya...tiada yang lebih baik dari nikmat yang Allah telah beri pada kita selama ini.
."Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?" (al-Rahman,ayat 36)

Untuk mengerjakan tawaf memakan masa 35-45 minit.(pengalaman sendiri)Saya tak tahu jika ada orang yang boleh melakukan dengan masa yang cepat seperti 20-30 minit sahaja, tetapi tidak mustahil jika dia sendirian.Kami bertiga dan ada mak yang sudah tua yang perlu kami jaga dalam kesesakan itu.Selesai tawaf,kami pergi ke belakang Maqam Ibrahim.Menunaikan Solat sunat tawaf.Pertama kali melakukan solat di sini dan orang melintas lalu lalang di hadapan kita,saya tidak selesa dengan keadaan ini tetapi rupanya ini adalah perkara biasa.Mana mampu kita hendak menghalang perjalanan jemaah lain dengan keadaan yang sesak begini. Selesai solat sunat tawaf,kami masuk semula ke dalam bangunan Masjidil haram menuju ke al-Mas'a.(tempat bersa'ie) Jika di Masjidil Haram,laluan ke sana ada sign board bertulis To Masaa. Mas'a ialah jarak di antara bukit safa dan Marwah. Sa'ie di dalamnya adalah termasuk di dalam ibadat haji dan umrah. Mengerjakan sa'ie.

Tanah tempat Sa'ie ini,asalnya merupakan tanah yang berliku,curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedikit sepanjang sejarah sehinggalah keadaannya seperti hari ini.Sesungguhnya Mas'a adalah suatu masy'ar (tempat ibadat) yang tersendiri,seperti firman Allah yang bermaksud "sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syi'ar agama Allah".(Al-Baqarah:158)
Pusingan 7 kali dilakukan di sini di antara safa dan marwah. Bersama mak di Bukit Safa.

Saya tidak nafikan keletihan yang terasa (sebab tiada persediaan fizikal),dalam masa yang sama teringat akan kisah Siti Hajar dan Ismail yang ditinggalkan di pdang pasir yang kering dan gersang.Di sinilah Siti Hajar berulang-alik 7 kali di antara bukit Safa dan Marwah,sesekali berlari-lari anak mencari orang yang lalu lalang,kerana anaknya Ismail kehausan mahukan air.Kisah ini cukup untuk saya bermuhasabah diri...saya berjalan antara safa dan marwah dengan lantai marmar yang berkilat dan ada penghawa dingin di dalamnya,bahkan boleh berhenti rehat dan minum air zam-zam yang di sediakan di kiri kanan safa dan marwah...tetapi Siti hajar dalam kepanasan dan kehausan tetap sabar dengan ujian yang Allah SWT beri.Malunya pada Allah kalau saya mengeluh berjalan sejauh ini... Dan Alhamdulillah,untuk mengerjakan sa'ie ini,kami siapkan dalam masa 45 minit.Paling lambat pun dalam 1 jam. Akhir sekali penutup dan penamat bagi pantang larang dalam ihram iaitu bertahalul.Ia ibarat salam bagi mengakhiri sembahyang.Di sini,kami memotong sedikit rambut. Semoga setiap helai rambut itu akan menjadi cahaya bagi kami pada hari kiamat kelak.

Dari pengalaman mengerjakan ibadah umrah ini,saya boleh katakan,kita boleh siapkan dalam masa 3 jam bermula dari mengambil teksi untuk bermiqad sehinggalah mengakhirinya dengan bertahalul. Ada jemaah terutama yang muda dan masih bertenaga boleh melakukan sehingga 2 kali umrah dalam sehari.Sekali sebelah pagi selesai sarapan, sekali sebelah malam, selesai solat Isyak dan makan malam. Pengalaman saya,jika melakukan pada sebelah pagi seawal 7.30 pagi,kami boleh siapkan sebelum 11 pagi.Kemudian sempat balik ke hotel untuk membersihkan diri dan berehat lebih kurang 1 jam kemudian pergi semula (berjalan kaki) menuju ke Masjidil Haram untuk Solat Fardhu Zohor berjemaah.Rasanya tak kan ada sesiapa pun yang sudah datang ke Mekah untuk 'missed' setiap solat fardhu di Masjidil Haram kecuali jika anda jatuh sakit ketika itu, kerana Rasulullah saw pernah bersabda,
“ Satu sembahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.”

Manakala jika anda berhajat hendak melakukan umrah pada sebelah malam,(tip untuk sahabat yang ingin mengerjakan umrah) bolehlah dilakukan selepas Isyak dan selepas makan malam.Biasanya kami akan pergi pada pukul 9.30 malam dan boleh siap dalam pukul satu pagi.Kaum hawa pastikan pergi bersama mahram anda.Satu lagi cara, boleh buat selepas asar, anda boleh terus ke Masjid Taneem. Pasti sebelum solat Maghrib anda sudah siap melakukan tawaf.Masa inilah berpeluang dapat solat fardhu betul-betul berdekatan dengan kaabah.Selepas solat maghrib,kami sempat mengerjakan Sa'ie 7 pusingan dan kemudian menunaikan solat Isyak di tempat sa 'ie. selepas isyak,baru mengerjakan tahalul dan bebas dari ihram. Alhamdulillah...apa pun semuanya terpulang kepada anda, masa itu pilihan anda.Semuanya terpulang pada kemahuan dan kekuatan anda. Salah sebuah banguan di hadapan Masjidil Haram.

Tadi saya ada memberitahu tambang teksi agak mahal dalam 50 saudi riyal.Sebenarnya ada lagi pilihan yang lebih murah.Anda cuma perlu berjalan sedikit di depan masjidil haram sebab teksi kita boleh ambil depan hotel.Di sana banyak van-van sapu yang boleh membawa anda ke masjid Taneem dengan bayaran serendah 2 saudi riyal sahaja,tetapi keadaan dalam van agak sesak,sesetengah van sudah uzur benar dan tidak ber aircond...yang penting sampai(dengan selamat..InsyaAllah)...kami pernah dua kali menaikinya itupun pada hari-hari akhir, baru kami mengetahui tentang adanya van sapu ini...(save budget anda) Pada ketika saya berada di Mekah,pembangunan sedang giat berjalan.Banyak bangunan-bangunan lama di sekeliling Masjidil Haram yang dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baru yang tinggi.Hotel-hotel mewah, Al-Safwa Tower,Zam-zam Tower dan entah bermacam-macam lagi tower....Saya memandang perubahan ini dari sudut yang positif kerana ia turut memudahkan para jemaah yang ramai.Bagi yang berkemampuan mereka boleh tinggal di hotel-hotel mewah yang sungguh dekat dengan masjidil haram dan amat memudahkan mereka untuk datang ke masjidil haram untuk beribadat. Jika orang yang duduk di hotel jauh boleh berjalan kaki, pasti tiada alasan untuk mereka yang berada.Gunakanlah nikmat yang Allah beri itu dengan sebaik-baiknya.Saya,suami dan mak ada masanya akan singgah di Zam-zam tower ini untuk makan tengahari selepas solat Zohor.kemudian patah balik semula ke Masjidil haram.(ada gerai makan diatasnya) Dan yang menarik, boleh pergi ke toilet yang disediakan tempat wudhuk untuk wanita.Di sini agak selesa kerana, tempat wudhuk di masjidil haram sentiasa sesak dengan manusia. Bangunan lama dirobohkan dan diganti dengan baru yang lebih tinggi...
Memandangkan pembangunan yang sedang giat berjalan ini,suasana di Mekah terdedah dengan habuk dan debu.Ramai jemaah yang menggunakan mask .Kalau ingin dibuat perbandingan Kota mekah dan Kota Madinah,saya lebih suka berada di Kota Madinah yang aman dan tenang itu.Benarlah seperti apa yang ditulis oleh Prof Kamil dalam bukunya yang bertajuk Travelog Haji, suasana islamik itu hanya anda rasai semasa di Masjidil Haram ,tetapi tidak di luarnya.Suasana manusia yang bising membeli belah,bunyi-bunyi hon kenderaan disepanjang jalan,suasana hiruk pikuk kota sungguh tidak mententeramkan jiwa anda.Percayalah ketenangan itu hanya ada di Masjidil Haram.

Pada hari kedua berada di Mekah,hujan turun dengan lebatnya.Mekah yang jarang-jarang turun hujan itu sudah pasti menggembirakan penduduk Mekah.Bagi mereka hujan rahmat.Tetapi kalau bagi kita pulak,kalau kena hujan mesti demam atau jatuh sakit.Seperti kata muttawir kami,perkara itu akan berlaku seperti mana yang kita sangkakan.Wallahu'alam. Dengan suasana udara yang kotor dan berdebu serta kena hujan,jadi ramailah para jemaah yang jatuh sakit termasuk kumpulan kami.Selepas dua hari hujan ini,hari-hari seterusnya Kota Mekah menjadi sangat panas.Namun yang hebatnya, dalam cuaca panas, masih ada juga manusia yang sanggup tawaf dalam panas malahan beribu manusia solat diperkarangan luar Masjidil Haram di atas lantai marmar yang putih bersih.(Pekerja masjidil haram membersihkan kawasan sekitar luar dan dalam masjidil haram, sekitar kaabah dan sa'ie 24 jam tanpa henti) Bersama Suami tercinta,selesai mengerjakan umrah...

Pengalaman yang amat manis bagi saya bila pada satu malam kami mengerjakan tawaf dan hujan turun dengan lebatnya.Tawaf diteruskan sehinggalah kami mengakhirinya dengan keluar dari ihram,entah bagaimana semasa hendak balik melalui tepi kaabah, kami bertiga berpimpinan tangan...kaki kami terus menuju ke multazam.(Mungkin disebabkan hujan semakin lebat,manusia yang tawaf ada berkurangan sedikit)Multazam ini terletak di antara rukun Hajar Aswad dangan pintu Kaabah.Multazam ialah satu-satunya tempat yang paling mustajab di Mekah ini.Allah SWT akan sentiasa mendengar dan mengabulkan doa hambanya yang berdoa di sini.Sesungguhnya hujan itu memang hujan rahmat kerana hujan itulah yang membawa kami ke Multazam !

Maqam Ibrahim,Hijir Ismail dan berada di bawah pancur emas kaabah adalah perkara yang saya lihat agak sukar untuk didekati kerana keadaan manusia yang sentiasa ramai dan berasak-asak. Masing-masing ingin berdoa dan solat sunat di sana.Berlumba-lumba mengejar syurga Allah yang mahal itu.Saya hanya mampu berdoa kepada Allah,semoga sebelum balik ke tanahair,kami sempat ke sana biarpun hanya seketika. Suatu pagi,Suami membawa saya dan mak ke kaabah untuk tawaf sunat.Di Mekah,kita digalakkan perbanyakkan membuat tawaf sunat kerana solat sunat atau apa jua amal jariah lain seperti bersedekah kita boleh lakukan bila berada di tanah air tetapi tawaf sunat hanya boleh dilakukan di sana kerana Kaabah hanya ada satu di dunia ini dan hanya berada di Masjidil Haram Mekah.Kami memulakan tawaf dengan tenang.Manusia memang ramai...kami berjalan mengelilingi kaabah dan semakin dekat dengan kaabah.sehinggalah tawaf yang terakhir,kami sudah berada di hijir Ismail.Masuk ke Hijir Ismail menunaikan solat sunat dan berdoa...(Banyaknya yang aku minta tetapi sedikit yang aku beri PadaMu ya Allah.Ampuni aku Ya Rabb)...Tangisan mengiringi doa...rasanya semua manusia menangis di sana memohon keampunanNya.Tiada manusia yang mampu menahan egonya di depan Allah SWT.Itu yang saya percaya.Keluar dari Hijir Ismail,kami berjalan sedikit,betul-betul sudah berada di bawah pancur emas.Istimewa sekali menjadi tetamu Allah ini. Kemudian ke Maqam Ibrahim."Maqam" di sini bermaksud tempat berpijak. Maqam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Ismail untuk dijadikan sebagai tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s ketika mereka membina kaabah dulu. Kemudian kami berasak-asak bersama jemaah lain menuju ke Hajar Aswad.Alhamdulillah,berjaya juga kami bertiga mengucupnya.Sebenarnya dalam keadaan berasak-asak begini,keganasan sama sekali tidak akan berlaku.Polis sentiasa ada menjaga depan pintu kaabah(berhampiran multazam dan hajar aswad),Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim

Dan sudah pasti sebagai tetamu Allah ,anda ingin mengabadikan kenangan dengan bergambar.Saya nasihatkan berhati-hati lah.Kamera memang tidak dibenarkan.Namun ada sedikit kelonggaran ketika hendak masuk ke masjidil haram.tiada pemeriksaan beg ataupun badan seperti mana di Masjid Nabawi Madinah.Jadi kamera kecil ataupun kamera handphone boleh digunakan untuk bergambar.(Kalau tertangkap, risiko tanggung sendirilah jawabnya)Saya pasti gambar itu,kita pamerkan pada kaum keluarga dan sahabat dengan harapan agar ia boleh menarik minat dan mencetus ransangan atau keinginan pada mereka untuk ke Rumah Allah itu.InsyaAllah. Semasa di mekah,kami juga turut berpeluang mengadakan ziarah ke tempat-tempat yang bersejarah bersama mutawwir kami.

1.Jabal Thur.

Sebuah gunung yang tertinggi di antara gunung-gunung yang berada di Mekah. Di lerengnya ada sebuah gua di mana di situlah Rasulullah saw dan sahabatnya Abu Bakar pernah bersembunyi dari diburu oleh orang kafir Quraisy semasa hijrah mereka ke Madinah.

2.Arafah

Arafah adalah padang pasir yang luas,jauhnya kira-kira 25 km dari bandar Mekah. Tempat kami berdiri ini dipercayai tempat wukufnya Rasulullah saw di Arafah. Tetapi kini, padang ini telah menjadi hijau dengan pokok-pokok yang di tanam oleh pihak kerajaan Arab saudi.Di sinilah juga jemaah haji mengerjakan wukuf pada 9 hb Zulhijjah dan tempat mustajab berdoa pada musim haji.Ia adalah rukun haji yang utama. Dari tempat ini boleh dilihat Jabal Rahmah yang puncaknya terdapat tugu putih.Mengikut riwayatnya di Jabal Rahmah inilah tempat pertemuan antara Nabi Adam dan Hawa setelah sekian lama berpisah sebaik sahaja diturunkan oleh Allah ke permukaaan bumi ini dari syurga.Namun ada sesetengah ulama berpendapat,mereka berdua bertemu di Arafah tetapi tidak diketahui kedudukan sebenarnya.Wallahu'alam. Saya dan suami berhajat hendak naik ke Jabal Rahmah tetapi kemudian membatalkan hajat kami itu.Memang ramai manusia naik ke atas Jabal Rahmah ketika kami sampai di Arafah.

3.Mudzalifah Tempat bermalam bagi jemaah haji.Juga menjadi tempat jemaah haji mencari batu kerikil untuk keperluan melontar jamrah pada hari-hari di Mina.

4.Hudaibiyah

Di sini kami melihat runtuhan masjid Hudaibiyah.Tempat ini menjadi sejarah penting dalam Islam kerana di sinilah berlaku suatu perjanjian gencatan senjata antara pihak Rasulullaw saw bersama kaum Muslimin di Madinah dengan orang-orang kafir Quraisy di Mekah. Didalam sirah nabi,perjanjian tersebut dikenali dengan nama Perjanjian Hudaibiyah.

5 Ladang Unta. Kat sini kita boleh beli dan rasa susu unta.Ada yang meletakkah buih susu unta kat muka kononnya nak bagi tegangkan kulit muka.Macam-macam telatah pengunjung di sini. Kawasan ni agak aman dan tenteram sebab jauh dari kebisingan kota. Tempat ziarah yang lain seperti jabal Nur tempat Rasulullah saw menerima wahyunya yang pertama tidak sempat kami singgah.Begitu juga dengan perkuburam Ma'la.Di sini ramai juga para sahabat Nabi dan isteri baginda Khadijah Binti Khuwalid dikebumikan.Kami hanya melaluinya kerana kesuntukan masa.Sedikit terkilan rasa di hati tetapi saya harap saya akan datang lagi ke sini dan meziarahi tempat ini.InsyaAllah. Kenangan di Madinah... Memerhati burung merpati di jalanan bersama mak. Suasana kota yang aman dan tenteram.


Inilah pesta ibadah yang paling hebat.Manusia berduyun-duyun berjalan kaki menuju ke Masjidil haram setiap kali menghampiri solat fardhu.Tidak kira masa...Dalam kedinginan pagi mahupun dikeheningan malam...Subhanallah. Jemaah berehat di luar masjidil haram...

Sebelum saya menutup entri kali ini, saya memohon beribu-ribu kemaafan seandainya ada fakta yang tersalah tulis.Sesungguhnya manusia jahil seperti saya bersedia menerima teguran kerana semua kelemahan dan kekurangan itu adalah dari diri saya sendiri dan yang terbaik dan terindah itu hanya ada Pada Allah SWT sahaja.Semua tulisan saya bukanlah jua ingin mendabik dada ataupun menunjuk-nunjuk kerana telah menjadi tetamuNya.Astaghfirullah...semoga pengalaman yang tidak seberapa ini akan dijadikan panduan serba sedikit dari segi mental dan fizikal oleh ahli keluarga saya sendiri mahupun sahabat-sahabat saya ataupun pengunjung blog ini.Saya berdoa kepada Allah SWT,semoga kalian juga dilimpahi rezeki dan diberi peluang untuk ke Tanah Suci ini.Malahan saya sendiri masih ingin lagi ke sana...apa pun jua suasananya di sana tetap menggamit hati ini untuk bertandang semula. Singgah di Masjid Terapung,dalam perjalanan pulang menuju ke airport Jeddah. Masjid ini terletak berdekatan dengan laut merah. Melihat laut merah ini mengingatkan pada kisah Nabi Musa yang dikejar oleh Firaun dan tenteranya. Bersama suami tercinta berlatar belakangkan laut merah.

Selesai tawaf wida(tawaf selamat tinggal),kami pun meninggalkan kota Mekah ini.

"Ya Allah,janganlah Engkau jadikan tawaf dan ziarah dari hamba ini sebagai kali yang penghabisan di Baitullah.Jika ditakdirkan ziarah ini adalah kali yang terakhir maka hamba pohonkan syurga sebagai gantinya dengan segala kemurahan Engkau,wahai Tuhan yang maha Pemurah lagi Maha penyayang".

wassalam. "Hijrah menuju Allah"

Friday, March 25, 2011

Umrah Mac 2011 (Part 2)

Salam ceria..salam ukhuwah berpanjangan.

Masih lagi di bumi Madinah Al-Munawarrah...ingin saya bercerita kisah yang agak lucu namun disebaliknya terselit satu keindahan tentang sebuah ukhuwah...
Pada satu hari,seperti biasa saya dan mak menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat maghrib berjamaah. Biasanya saya akan tinggalkan handphone di bilik hotel,tetapi pada hari itu saya benar-benar terlupa yang handphone masih di dalam beg.(Ini kelemahan saya). Bila saja handphone kedapatan dalam beg saya, saya dan mak tidak dibenarkan masuk. terpaksalah kami berdua solat di perkarangan luar bersama jemaah lain sambil menghirup udara segar diluar di tambah dengan kedinginan malam.Kesian mak, gara-gara kelalaian saya, mak terpaksa menahan ksejukan. Dalam hati tidak putus-putus menyesali kelalaian diri.


Ketika menunggu masuknya waktu Isyak, datanglah seorang wanita Iran membawa ibunya yang tidak begitu jelas penglihatannya dan duduk di sebelah kami.(ni mesti kes kedapatan kamera gak)kemudian wanita muda itu meninggalkan sejenak ibunya pada kami berdua(dia pergi masuk ke dalam masjid nak ambil air zamzam untuk ibunya)
Terjadilah komunikasi yang sungguh luarbiasa...mak dengan lograt Terengganunya dan wanita tua itu dengan bahasa Iran...Saya kat sebelah diam tak terkata,cuba hendak memahami perbualan mereka...dari apa yang saya faham, mak bertanya tentang mata wanita itu .Wanita itu menjawab bla bla bla...kemudian terselit perkataan doktor. Bagaikan dia faham mak maksudkan matanya. Kemudian anak wanita tua itu datang, mak dengan selamba bertanya "mu dari mana?" secepat kilat wanita itu menjawab Iran...MasyaAllah...begini mudah rupanya sebuah ukhwah. Bahasa bukan penghalang untuk satu kemesraan. Indahnya....

Program Ziarah hari ketiga di Madinah.

1. Kami dibawa ke masjid Quba dan menunaikan solat sunat di situ.


Sabda Rasulullah saw " Barangsiapa berwudhuk di rumahnya,kemudian terus pergi ke Masjid Quba lalu mendirikan solat sunat dua rakaat,maka pahalanya adalah menyerupai pahala dari orang yang menunaikan umrah".Masjid ini terletak 4.8Km dari Masijid Nabawi.Ia adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah saw bersama sahabat-sahabatnya atas dasar taqwa.


2. Kebun Kurma.
Suatu masa dahulu bumi Madinah tidak subur dengan tanaman, kering dan gersang, malahan penyakit berjangkit mudah menjangkiti penduduknya ketika itu.Namun setelah kedatangan Rasulullah dalam peristiwa hijrah dari Mekah, baginda mendoakan bumi Madinah menjadi tempat yang paling subur. Doa itu dimakbulkan oleh Allah SWT dan hingga ke hari ini Kota Madinah subur dengan pelbagai tanaman dan rakyatnya hidup dalam kesejahteraan.

Di kebun ini turut ada kedai menjual pelbagai jenis kurma termasuk kurma nabi yang dijual dengan harga 1kg 80 saudi riyal.

Semasa membeli belah,berniatlah yang kita bukan setakat membeli tetapi membantu memakmurkan bumi Madinah ini dengan wang yang telah kita belanjakan.(Nasihat dari Mutawwir kami )


3.Jabal Uhud dan Jabal Rumat.
Jabal (bukit) Uhud terletak lebih kurang 12km dari Masjid Nabawi.

Di sana juga terdapat Jabal Rumat di mana di situlah Rasulullah menempatkan 50 orang pemanah terhandalnya, tetapi mereka ini mengingkari arahan baginda dan turun dari bukit tersebut.Peristiwa ini membawa kepada kekalahan tentera Islam dalam pertempuran kedua dalam perang Uhud.Ramai tentera Islam yang syahid termasuk bapa saudara Rasulullah saw iaitu Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib r.a (penghulu sekalian syuhada)dan Rasulullah saw sendiri turut mengalami cedera parah sehingga patah gigi baginda.Namun dalam pertempuran ketiga,tentera Islam telah bangkit dan mereka berjaya mengalahkan tentera kafir Quraisy.
Bersama suami berlatarbelakang kan perkuburan para syuhada Uhud.


Salam Kepada Para Syuhada Uhud.
"Salam sejahtera ke atas kamu sekalian wahai para syuhada Uhud.
Ya Allah,berilah mereka ini semua balasan dari Islam dan kaum Islam dengan semulia balasan dan angkat tinggikan darjat mereka dan muliakanlah kedudukan mereka dengan KeagunganMu dan KemurahanMu Wahai Tuhan yang Maha Pemurah dari segenap yang pemurah".


4.Kilang Al-Quran. Ini adalah yang terbesar di dunia. Wanita tidak dibenarkan masuk.(Dikhuatiri ada wanita yang masih dalam hadas)Hanya lelaki sahaja yang berkesempatan masuk dan melawat ke dalam.


Sebelum keluar dari kilang percetakan tersebut,semua pelawat lelaki ini akan diberi hadiah Al-quran setiap seorang.

5.Masijid Qiblataini.
Sebenarnya kami hanya lalu dan mendengar penerangan sepintas lalu dari mutawwir tentang masjid ini. Terkilan juga di hati kerana tidak sempat singgah nak mengambil photo di sini.Namun keadaan masa yang tidak mengizinkan kerana ingin mengejar solat zohor berjemaah di Masjid Nabawi.Masih terngiang-ngiang kata-kata Mutawwir kami dengan pelat Indonesia nya...kita mampu berencana,tetapi Allah jua yang memutuskannya".

6.Jabal Magnet.
Ziarah ini dilakukan sebelah petang selepas menunaikan solat Asar.Menurut Muttawir yang membawa kami,kawasan ini masih baru dan ditemui kira-kira 7 tahun yang lalu.Sebelum ini kawasan ini hendak dibangunkan tetapi kerja-kerja tidak dapat dijalankan kerana adanya arus magnet di kawasan ini.Jadi tempat ini menjadi jalan mati dan tempat ziarah bagi mereka yang ingin melihat kebesaran Allah.Dia yang berkuasa atas segalanya yang ada di atas muka bumi ini.
Semasa bas kami menuju ke kawasan ini, driver bas membawa bas itu dengan kelajuan 120 tetapi bas bergerak sangat perlahan waluapun driver bas sudah menekan minyak hingga habis..Jarum meter juga tidak naik.Seolah-olah menolak kehadiran bas ini.tetapi bila kami bergerak untuk pulang, bas bagai ditolak dengan lajunya hingga mencecah 130km/hr.tetapi driver bas tidak menekan minyak pun.
Saya dan beberapa rakan yang lain melihat sendiri kaki driver bas yang tidak menekan pedal minyak.Subhanallah...

Keesokan harinya kami berangkat meninggalkan Kota Madinah dan menuju ke Tanah haram Mekah.Tetapi pada sebelah pagi,saya ,suami dan mak bersiar-siar di sepanjang jalan yang berdekatan dengan Masjid Nabawi.Hotel-hotel mewah dan tempat membeli belah ada disekitar itu juga.Terasa aman dan tenang sekali menyusuri jalan-jalannya.Selepas solat Zohor,kami memberi doa perpisahan kepada Rasulullah saw.
"Ya Allah,berilah selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya dan janganlah menjadikan kunjungan ini penghabisan bagiku dengan Nabi-Mu.Hapuskanlah segala dosaku dengan menziarahinya dan bekalilah aku keselamatan dalam pelayaranku serta mudahkanlah kepulanganku ini menuju ahli keluargaku dan tanahairku dengan selamat,wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih".

Bersama suami tercinta di depan hotel Elaf Taibah.
Tepat jam 3 petang dengan masing-masing sudah bersedia dengan pakaian ihram bagi lelaki dan memadai dengan telekung bagi wanita.kami meninggalkan kota Madinah yang penuh keberkatan itu.

Singgah di Masijid Bir Ali untuk solat sunat ihram dan bermiqad. Bermakna kami sudah terikat dengan pantang larang dalam ihram.
Airmata mengalir laju merindukan Masjid Nabawi,Rasulullah saw yang begitu dekat dengan kami selama beberapa hari di Madinah.InsyaAllah,jika diberi peluang dan kesempatan,kami akan kembali mengunjungiMu lagi Ya Rasulullah....
Perjalanan pun diteruskan selama 5 jam menuju ke Kota Mekah sambil bertalbiah
"saya penuhi panggilanMu,tiada sekutu bagi Mu. Sesungguhnya segala puji,nikmat dan kerajaan adalah milik Mu.Tiada sekutu bagi Mu."

Pengalaman seterusnya di Kota Mekah akan bersambung di next entri...semoga diberi kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakannya.InsyaAllah.

Thursday, March 24, 2011

Umrah Mac 2011 (Part 1)


Assalamualaikum kepada semua ahli keluarga,sahabat dan jua pengunjung blog ini. Semoga semuanya dirahmati Allah SWT.

Saya serta suami dan ibu mertua(mak) selamat tiba di tanahair petang semalam dengan penerbangan Gulf Air. Setelah 13 hari 12 malam berada di Tanah Haram Mekah dan Madinah untuk mengerjakan umrah. Kami pergi menggunakan khidmat Poto Travel, jadi dalam kumpulan saya ada seramai 40 orang semuanya. Urusan visa semua telah diuruskan oleh pihak mereka,begitu juga dengan penerbangan,hotel,makan minum dan pengangkutan di semasa di sana.Visa suami saya adalah yang paling lambat diproses kerana suami bertugas di luar negara jadi proses penyerahan passport kepada pihak Poto travel lambat, namun akhirnya 9 hari sebelum berangkat ke tanah suci, suami sempat menyerahkan pasportnya untuk pemerosesan visa. Syukur tak terhingga kepada Allah.Rupanya memang sudah dalam perancanganNya,kami suami isteri akan berangkat bersama-sama ke sana.Terima Kasih Ya Allah.


Suasana di keheningan pagi di Masjid Nabawi.

Madinah Al-Munawarrah


Bumi Madinah sungguh sejuk dan dingin sekali. Saki baki musim sejuk masih lagi terasa.Keletihan dalam penerbangan selama 7 jam dari Kuala Lumpur ke Bahrain (transit 4 jam di Bahrain) dan terbang lagi selama 2 jam dari Bahrain ke Madinah, bagaikan hilang bila kaki memijak bumi Madinah di mana bersatunya tanah Madinah ini dengan jasad Rasulullah saw.Malam itu pemeriksaan Imigresen berjalan lancar walaupun terpaksa beratur panjang dengan jemaah dari negara lain.Alhamdulillah,segalanya dimudahkan.Kumpulan kami bergerak menggunakan bas menuju ke Hotel Elaf Taibah. Di samping disediakan seorang tour leader, bersama kami juga ada seorang muttawir yang memang telah sedia menunggu kami di Madinah. Beliau yang kami panggil ustaz hanyalah seorang pelajar Indonesia yang masih belajar dalam jurusan Syariah di salah sebuah sekolah di Kota Mekah. Ustaz inilah yang akan membawa kami semasa ziarah dan memberi tunjuk ajar dalam umrah wajib kelak.
.(nak jadi muttawir bukan senang kerana selain kena tahu tentang ilmu agama,dia juga kena tahu tempat-tempat bersejarah dan apa cerita di sebalik sejarah itu...lebih kurang macam pemandu pelancong jugalah)


Pada malam itu,kami dinasihatkan untuk berehat di hotel kerana telah melalui perjalanan yang panjang tetapi kami bertiga iaitu saya,suami dan mak ada agenda tersendiri.Masjid Nabawi yang bersebelahan dengan hotel bagaikan memanggil-manggil. Selesai makan malam dan membersihkan diri,kami bertiga menunaikan solat jamak takhir magrib isyak di Masjid Nabawi. Masjid Nabawi yang besar itu ada banyak pintu dan kebanyakan pintu sudah lama ditutup kecuali pintu-pintu khas yang memang telah disediakan untuk laluan mereka yang ingin beramal ibadat dari tengah malam hingga ke fajar.Kami bertiga berpecah, suami pergi ke tempat solat lelaki manakala saya dan mak menuju ke tempat solat perempuan(dalam hati masa tu teragak-agak)...memang tak jumpa pintu..akhirnya kena bertanya...bertanya pulak pada orang arab (tak jumpa orang kita atau Indonesia time tu) saya cakap English,but they cannot understand me...cakap melayu apatah lagi...Dia orang balas cakap arab...terjadilah komunikasi yang sungguh luarbiasa hebat !!! Namun semangat tetap tidak luntur, semangat hendak menunaikan solat dalam masjid Nabawi masih membara,kerana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Solat di MasjidKu ini lebih baik daripada solat 1000 kali solat di tempat lain kecuali di MasjidilHaram”.


Perkarangan luar Masjid Nabawi

Akhirnya,setelah puas bercakap dengan berbahasa badan dan isyarat, saya dan mak temui jua pintu. Pintu No 25...Melangkah dengan tenang,sebak di dada tak tertahan...menjadi TetamuNya adalah perkara yang paling hebat sekali saya rasakan.Diberi peluang menjadi tetamuNya, sehabis mungkin,kami ingin manfaatkan ia dengan sepenuhnya. Mana mungkin kami bertiga solat di bilik hotel sahaja sedangkan Masjid Nabawi hanya ada di sebelah. Cahayanya terang benderang, malahan orang ramai bagaikan berkelah di perkarangan luar masjid biarpun sudah tengah malam.Bermula dari malam itu dan hari-hari seterusnya di Madinah,ketenangan bagaikan kami miliki sepenuhnya.Lupa sekejap pada wajah-wajah kecil yang saya tinggalkan di Malaysia. Saya percaya Allah SWT pasti menjaga mereka.



Makam Rasulullah saw dan dua sahabat baginda Abu Bakar dan Umar.


Tiang yang di tanda dengan kain hijau ini ialah tapak asal Masjid Nabawi yang dibina oleh Rasulullah saw di mana ketika itu hanya berbumbungkan pelepah daun tamar.

Di dalam Masjid Nabawi inilah terdapatnya Makam Rasulullah saw bersama dua sahabat rapatnya Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar Al-khattab. Begitu juga dengan Raudah,tempat ibadat yang menjadi pilihan kerana solat sunat dan berdoa di raudah pasti akan diterima Allah.InsyaAllah.Raudah adalah kawasan kecil diantara rumah Rasulullah saw dengan mimbar masjid baginda.dan ia merupakan taman syurga.Kini ruang itu ditandakan dengan menggunakan karpet hijau.


Di bawah kubah hijau inilah jasad baginda Rasulullah saw disemadikan...

Raudah dan Makam Rasulullah saw hanya bersebelahan,bermakna kalau dapat pergi ke Raudah,kita juga boleh melihat Makam tersebut.Namun 2 hari saya membuat pemerhatian, bukan mudah hendak ke Makam Rasulullah saw dan Raudah.Manusia bersesak-sesak di sana,apatah lagi kawasan itu adalah di sebelah tempat lelaki solat.


Kaun hawa hanya ada masa-masa yang tertentu sahaja untuk ke sana itupun mengikut giliran negara masing-masing.Biasanya jemaah Malaysia dan Indonesia disatukan dalam satu kumpulan.Saya amat risau sekali jika terlepas peluang ke Raudah dan Makam Rasulullah kerana kami hanya ada 3 malam 4 hari di Madinah.Suami saya amat bertuah kerana sering berpeluang solat sunat malahan solat fardhu dan berdoa di Raudah.Mungkin kerana tubuhnya yang kecil,jadi peluang untuk menyusup masuk di celahan manusia itu tinggi.Begitu juga ke Makam Rasulullah saw,suami saya selalu melintas di hadapan dan memberi salam kepada baginda.Saya dan mak mula memasang strategi sendiri.


Mimbar Rasulullah saw

Pagi itu,kami ketepikan sarapan pagi di hotel(disediakan Oleh pihak poto travel).Minum air zamzam dalam masjid sahaja.Selesai solat subuh, kami berdoa tidak putus-putus meminta dimudahkan ke Raudah. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui isi hati. Dua orang muslimah dari Turki yang bernama Sakinah dan Nurhidayat (kami bercakap guna bahasa isyarat) membantu saya dan mak dengan menunjuk arah pintu ke Raudah tapi masih ada kawalan dari polis wanita. Disitu semua jemaah duduk menunggu giliran mengikut negara masing-masing.Saya dan mak masuk dalam kumpulan dari Negara Syria. Yang menariknya mereka memberi ruang pada kami berdua dan menegur kami dengan mesra dan sopan sekali biarpun saling tidak memahami bahasa.Dalam masa yang sama, risau hati tak terkira,kerana wajah saya dan mak ialah wajah orang asia,wajah melayu..sungguh beza dengan wajah orang arab Syria .Risau jika polis mengecam muka kami berdua. Dimulut tidak putus-putus meminta padaNya agar dimudahkan.Akhirnya Berjaya juga menjejak kaki ke Raudah dan melihat makam Rasulullah saw. Malahan sebelum berangkat ke Mekah, saya dan mak berpeluang sekali lagi ke Raudah tetapi kali ini dengan saluran yang betul.Join kumpulan “melayu”.(M’sia dan Indo) tetapi memang terpaksa menunggu lamalah.


Satu perkara lagi yang ingin saya ingatkan pada mereka yang akan datang ke Masjid Nabawi, sila tinggalkan kamera dan handphone anda di bilik hotel, kerana sebelum masuk ke dalam Masjid Nabawi,Polis-polis wanita ini akan memeriksa badan dan beg anda.( Nak ambik gambar kat perkarangan luar takpe )Polis wanita ini bertugas tak kira masa...Jam 2 atau 3 pagi pun mereka sudah sedia menunggu kita di luar pintu.Siapa yang kedapatan,tidak akan dibenarkan memasuki ke dalam masjid. Dan anda hanyalah layak solat di perkarangan luar.Di luar pun bersih juga dengan lantai marmar yang berkilat.Kawasan luar yang luas ini turut menampung jemaah yang ramai terutama ketika musim haji.





To be continued....