Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Muncul Lagi...



Ramadhan yang dinanti-nanti tiba lagi.Syukur Alhamdulillah kerana dipanjangkan umur untuk menikmati bulan yang mulia ini sekali lagi.Hari ini adalah hari pertama bagi seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam menunaikan ibadah puasa.

Seawal 4 pagi saya telah bangun menyediakan juadah bersahur bersama ahli keluarga.Menu pagi ini ringkas sahaja, Singgang ikan tongkol,kacang panjang digoreng dan telur goreng.Walaupun kena bangun awal dan bermasak di awal pagi,namun tugas begini bukanlah bebanan bagi saya,malahan ia adalah sebahagian daripada kebahagiaan.Saya percaya para isteri dan ibu di luar sana
sependapat dengan saya.Bila juadah semua tersedia diatas meja, suami pun bangun dan cabaran paling hebat ialah membangunkan kedua puteriku yang amat lena di dalam bilik tidur mereka.Dalam usia 8 dan 7 tahun, mereka dimestikan untuk berpuasa penuh kecuali atas sebab-sebab kesihatan. Semasa mereka berusia 6 tahun dulu, mereka juga dilatih untuk berpuasa tetapi hanya setengah hari sahaja.

Gelagat anak-anak berpuasa sesungguhnya amat mencuit hati.Dengan keadaan cuaca yang panas,sudah pasti mereka amat dahaga.Adakalanya mereka meminta untuk minum . Saya dan suami selalu memujuk mereka agar bersabar.Biasanya balik dari sekolah, setelah solat Zohor dan setelah siap membuat kerja sekolah,mereka akan dibiarkan tidur.

Pada hari ini juga wanita islam yang berkeluarga dibenarkan balik awal 4.30 petang.Alhamdulillah...Manakala saya pula yang flexi Hour dan masuk kerja sebelum 7.30 pagi dibenarkan balik tepat 4 petang...Saya amat menghargai peluang yang diberi ini, untuk memudahkan segala urusan menyediakan juadah berbuka puasa bersama ahli keluarga.


Semoga ketibaan Ramadhan tahun ini akan lebih baik dari segi ibadah atau amalan dari tahun-tahun sebelumnya. Peluang yang ada untuk kita meraih ganjaran dari Allah.Semoga ibadah kita diterima dan dirahmati oleh Nya.
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah SAW telah bersabdayang bermaksud:Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosa yang telah lalu.

Salam Ramadhan Mubarakdari saya untuk kalian di sana.