Thursday, July 22, 2010

Terima Kasih...


Petang itu saya hendak menunaikan solat Asar di tempat kerja...alangkah terperanjatnya saya bila melihat tikar dan sejadah saya habis basah kerana titisan air daripada aircond yang bocor...Pada petang itu saya menghabiskan masa hampir setengah jam untuk mencuci sejadah,tikar dan lantai yang basah.Jadi petang itu saya hanya menunaikan solat asar bila balik ke rumah.Memang sempat lagi, cuma saya suka mengerjakan solat di tempat kerja kerana risau jika saya akan tersinggah di mana-mana kedai semasa dalam perjalanan balik ke rumah.

Tempat solat saya bukanlah tempat yang betul-betul dikhaskan untuk solat.Memandangkan di tempat kerja saya (maaf tidak dapat dinyatakan) tiada bilik kecil yang boleh dijadikan mini surau jadi saya terpaksa menumpang di dalam satu bilik yang boleh saya katakan sebagai stor. Agak luas juga biliknya ,jadi adalah ruang sedikit di belakang saya buat sebagai tempat solat.Saya tidaklah kisah sangat,sebab yang penting tempat itu bersih.Saya alas dengan tikar dan di atasnya saya alas dengan sejadah.


Di sinilah saya menunaikan kewajipan saya kepada Allah SWT.

Kakak panggilan saya kepada salah seorang Cleaner di tempat kerja saya.seorang wanita dalam usia pertengahan dan berbangsa Iban(saya agaklah) dan non muslim.Kakak tu memang sentiasa sibuk dengan tugasnya dan saya tidak pernah meminta Kakak tu menyapu atau mengemop tempat solat saya. Saya pun tidak kisah juga sebab ruang solat saya sentiasa bersih.Tapi saya tidak menafikan,adakalanya kakak tu singgah juga di tempat solat saya dan menyapu lantai di situ. Setiap kali dia selesai membersihkan lantai, saya akan mengucapkan terima kasih padanya sebagai tanda penghargaan saya padanya.Kakak tu pasti akan tersenyum.Senang hati saya melihat senyumannya... walaupun pada mulanya saya agak risau kalau ruang solat itu akan menambahkan lagi kesibukan dirinya.

Kejadian 'Aircond leaking' berlaku lagi untuk kali kedua,tetapi kali ini saya terlebih-lebih terperanjat...kerana sejadah saya sudah dibersihkan dan tikar saya telah dijemur(digantung dengan elok)...Dan yang membuat saya rasa terharu,Kakak cleaner itulah yang bersusah payah membersihkan sejadah ,tikar dan lantai yang basah.
Selama ini , dalam kesibukan kita menjalankan tugas di tempat kerja...kita selalu lupa pada kehadiran tukang sapu mahupun cleaner yang selalu membantu membersihkan tempat kerja kita dan mengosongkan tong sampah kita hampir setiap hari...Tetapi berapa ramai yang mengucapkan perkataan terima kasih kepada mereka. Saya bukanlah hendak mengatakan saya ni baik sebab mengucapkan perkataan terima kasih itu...tetapi 'magic word' itulah yang selalu saya dan anak-anak praktiskan di rumah...Biarpun tidak menerima sebarang upah,tetapi ucapan terima kasih itu amat berkesan di hati...saya percaya kakak cleaner itu membantu saya kerana magic word yang selalu saya ucapkan padanya.Itulah hikmahnya disebalik ucapan 'Terima Kasih'..