Sunday, September 5, 2010

Balik Raya...

Mengharapkan keajaiban itu terus berlaku biarpun di saat-saat akhir....itulah kata-kata hati saya ketika ini. Namun panggilan telefon dari suami pagi ini mengesahkan tidak sempat balik beraya bersama keluarga amat mengecewakan hati saya.Namun saya sedar saya harus akur dengan ketentuanNya. Demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pekerja,saya harus terima inilah kerja suami saya. Mana mungkin suami yang bertugas di luar negara dengan sebuah company barat memohon untuk bercuti raya kerana cuti perayaan tidak ada diperuntukan untuk mereka.Di sini saya bermuhasabah diri betapa beruntungnya kita yang berada di tanahair sendiri bekerja sebagai kakitangan kerajaan boleh memohon cuti perayaan biarpun terpaksa bergilir-gilir dengan teman-teman sekerja.Betapa sebelum ini, selama kami kahwin suami selalu bernasib baik kerana selalu kebetulan mendapat "off day" sepanjang bulan puasa dan sempat berhari raya bersama keluarga walau hanya sempat satu atau dua hari sahaja.Bermakna tahun ini saya dan anak-anak kena redha.Betapa sudah banyak nikmat yang Allah limpahkan pada saya.

"Ya Allah, aku tidak ingin menjadi hambamu yang tidak tahu erti bersyukur,kerana sudah terlalu banyak nikmat yang Kau kurniakan kepadaku ".

Mengimbas kembali rancangan awal, saya dan suami sepatutnya memandu pulang ke kampung saya. Perjalanan dari bandar Miri ke kampung saya memakan masa 7 jam.Sudah pasti tanpa dia, rancangan itu automatik batal...Benarlah,kita hanya mampu merancang,Tuhan jua yang menentukan. Saya sendiri tidak memiliki kekuatan untuk memandu sejauh itu bersama anak-anak.Macam-macam perkara yang bermain di fikiran...salah satunya kemalangan.Tragedi kemalangan yang meragut nyawa kedua orang tua saya masih segar dalam ingatan biarpun sudah 9 tahun peritiwa itu berlaku.Ya Allah, saya buntu mencari jalan penyelesaian ini.Namun kata-kata pembantu rumahku bagaikan menyedarkan saya bahawa ajal maut itu kerja Allah.Pembantu rumah saya yang dipanggil Fitri itu pernah tinggal di Pakistan kerana mengikut majikan lamanya yang bertugas di sana.Fitri menceritakan dia dan majikannya hampir menemui maut bila sebutir bom yang datang dari entah arah mana meletup tidak jauh dari tempat yang mereka berada. Namun kerana ajal belum menjemput, mereka semua selamat.Alhamdulillah.....
Namun bagi saya,sebagai seorang wanita yang kurang pengetahuan dalam ilmu kereta, saya tidak sanggup meneruskan rancangan untuk memandu ini kerana bimbang kereta sakit di pertengahan jalan.

Hari raya semakin hampir, di saat-saat begini mana mungkin ada penerbangan lagi,kerana untuk sampai ke kampung , saya juga boleh menggunakan penerbangan MasWing. Penerbangan dari Miri ke Mukah cuma memakan masa 55 minit dengan jumlah penumpang di dalamnya yang hanya boleh muat untuk tidak lebih 20 penumpang.Kemudian dari Mukah ,saya boleh meminta kakak ataupun adik mengambil di airport kerana jarak perjalanan ke kampung saya hanya dalam 15-20 minit sahaja.Namun penerbangan Miri ke Mukah sudah pun penuh sehingga hari raya.Sebenarnya saya sudah lama tidak manaiki kapal terbang kecil yang di panggil
Twin Otter ini,kerana saya dan suami lebih suka memandu pulang ke kampung biarpun memakan masa yang agak lama di jalan raya.Dan secara jujurnya,saya amat takut menaiki twin otter ini.Ibarat kotak yang sedang melayang...itulah yang dapat saya gambarkan tentang twin otter ini.

Twin Otter

Akhirnya saya menemui jalan keluar.Panggilan telefon dari adik bungsu menyatakan kesanggupan untuk mengambil saya,fitri dan anak-anak di airport Sibu amat melegakan hati. Bermakna saya terpaksa mengambil flight ke Sibu.Kemudian dari Sibu kami menggunakan pengangkutan air iaitu speedboat.

Wharf Express dan Speedboat di bandar Sibu.

Speedboat ini adalah salah satu jalan pengangkutan air yang agak popular di Sarawak. Perjalanan menggunakan speedboat ini menyusuri Sungai Sarawak dari Sibu ke Daerah Dalat memakan masa 1 jam lebih sahaja.Kampung saya agak special kerana berada ditengah-tengah antara Mukah dan Dalat. Dari pekan Dalat hanya mengambil masa antara 20 minit memandu ke kampung saya.Sebenarnya sudah lama saya tidak menggunakan speedboat .

Suasana dalam speedboat...sepatutnya pengusaha speedboat memakaikan lifejacket kepada semua penumpang..tapi itu tidak diendahkan.Kesalahan besar yang harus pihak berkuasa tangani.

Akmal merenung jauh...

Sekolah yang dibina di tepian sungai untuk anak-anak penduduk di kawasan itu.

Anak-anakku amat gembira dengan pengalaman menaiki speedboat ini. Sepanjang perjalanan mereka excited sedangkan penumpang lain sedang dibuai lena...


Pemandangan Rumah panjang yang dibina dipinggir sungai.








Kampung diseberang pekan Dalat dikenali dengan nama kampung Brunei.


Alhamdulillah selamat sampai di Pekan Dalat.


Terkenangkan suami yang tidak menyambut raya di rantau orang. Terkenang lagi pada wajah anak-anak yang tidak dapat bersalam dan mencium tangan ayah mereka.Semua rasa ada bercampur menjadi satu dan dilepaskan dengan titisan airmata.Mujurlah ada blog ini tempat saya meluah rasa.
Apa pun esok adalah perjalanan pulang saya dan anak-anak ke kampung dengan menaiki pesawat MAS MH3401 pada jam 9.05 pagi menuju ke bandar Sibu.

"Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami, jauhkanlah kami dari segala bahaya".
Semoga kami semua akan sampai ke destinasi dengan selamatnya. Amin.

No comments:

Post a Comment