Friday, July 16, 2010


Pagi ini selepas menghantar anak ke sekolah,saya seperti biasa melalui jalan yang sama untuk menuju ke tempat kerja.Cahaya matahari mula menerangi alam sekeliling,namun lopak-lopak air di jalan disebabkan hujan yang turun dengan lebatnya semalam masih lagi kelihatan.Itu hujan yang pertama dalam minggu ini, jadi pada hujung minggu lalu pasti ramai mereka yang ada kereta mencuci kereta termasuk juga saya.Seperti lazimnya yang dilakukan, setiap kali bertembung dengan jalan yang ada lopak air ini,pasti kereta akan bergerak sedikit ke kiri atau ke kanan untuk mengelak percikan dari lopak air yang bisa mengotorkan kereta mereka termasuk juga kereta saya apatah lagi kalau kereta berwarna hitam, kekotoran itu jelas kelihatan.

Hakikatnya...
Begitu jugakah kita dengan diri kita sendiri ? Alangkah bagusnya jika kita seperti kereta yang mampu mengelak dari kekotoran melekat di badan...mampukah kita mengelak diri kita dari berbuat dosa...Di sana ada dosa,di sini ada dosa,buat begitu berdosa,buat begini berdosa tapi kita hampiri jua...Mengapa ? Adakah jawabnya kerana kita manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan yang mengundang dosa...ataupun adakah kerana kita bukan nabi maka kita tidak boleh mencontohi akhlak Rasulullah , maka kita boleh sewenangnya bertindak sesuka hati tanpa mempeduli peraturan hidup yang telah Allah tetapkan.Ya Allah,sesungguhnya terlalu banyak dosa yang telah hambaMu himpun. Namun keampunan Allah itu amatlah luas...Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah peluang sentiasa ada untuk kita membaiki diri, memohon ampun,bertaubat kepadaNYA lantas berjanji untuk tidak mengulangi lagi.

Firman Allah yang maksudnya,
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri(dengan melakukan maksiat),kemudian ia memohon ampun kepada Allah,nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani..
(Surah An-Nisaa' ayat 110)

Menyentuh soal akhlak...sememangnya kita tahu Nabi Muhammad SAW adalah contoh seorang peniaga yang memiliki akhlak yang sangat tinggi dengan kejujurannya dalam berurus niaga.Saya kira dalam dunia kini tiada lagi manusia(peniaga) yang memiliki akhlak yang sedemikian rupa . Malah ramai yang sanggup menipu demi melariskan jualannya...tapi persepsi saya berubah bila satu hari saya berkunjung ke sebuah kedai runcit yang dimiliki oleh orang Melayu yang beragama Islam.Saya ingin membeli roti yang ada di kedainya.Bagi saya roti itu masih nampak elok. Tapi peniaga yang jujur itu menghalang saya mengambilnya dan memberitahu yang roti itu sudah 'expired'.Saya terkejut dengan situasi itu.Mungkin situasi ini adalah biasa bagi kita tapi kejujuran beliau sungguh berkesan di hati saya. Semasa keluar dari kedai tersebut,sempat lagi hati saya berbisik, rupanya masih ada lagi penjual yang memiliki akhlak yang jujur seperti Rasullullah.Alhamdulillah...

No comments:

Post a Comment