Saturday, July 31, 2010

Kasihan Dan Kasihi Mereka


Nenek tua itu baru selesai menunaikan solatnya...lantas meninggalkan telekung dan sejadah tanpa berwirid panjang atau berzikir...bila mendengar suara cucu kesayangannya menangis di dapur. Di hati nenek tua itu berkata, ini pasti angkara along yang suka mengambil makanan dari tangan si adik.Nenek tua itu tidak pernah mengeluh walau sepanjang hari terpaksa berdepan dengan masalah yang sama.Sayangnya pada cucu darah daging sendiri mengatasi segala-galanya.Sama seperti dia menjaga anaknya sendiri 20 atau 30 tahun yang lalu.

Sepasang suami isteri yang telah mencecah usia emas masih bertungkus lumus mencari rezeki.Si isteri tekun membuat kuih...semuanya kuih tradisional yang masih digemari ramai.Awal pagi suaminya akan membawa kuih muih itu ke kampung untuk dijual.Anak-anak pula telah bekerja dan masing-masing dengan kehidupan berkeluarga.Sekali pandang orang luar akan berkata betapa senangnya hidup kedua suami isteri itu kerana semua anak sudah berkerjaya dan sudah pasti setiap bulan si anak ada memberi sumbangan buat belanja makan minum ayah dan ibu yang sudah tua.Namun hakikatnya tidak begitu...


Sama ada sedar atau tidak,Situasi nenek tua di atas berlaku dalam kehidupan kita.Nenek tua yang menjaga cucu bila anak mereka keluar bekerja.Segalanya nenek itu lakukan, dari awal memandikan,memasak dan memberi makan...belum lagi berdepan dengan karenah cucu yang pelbagai ragam. Kasihan nenek itu...pasti ingin juga di hatinya menghabiskan masa bersama kawan-kawan seusia pergi ke masjid dan menghabis masa beribadat.Tapi semuanya terpaksa ditunda pada hari yang dia sendiri tidak pasti bila...esok atau lusa segalanya akan berjalan seperti biasa tapi sampai bila ...adakah sehingga nenek tua itu menutup mata buat selamanya...Ibubapa mana yang sanggup berkata tidak jika anak sendiri meminta mereka menjaga cucu...Alasan tidak cukup wang gaji untuk mengupah pembantu, tidak mempercayai pembantu atau pusat penjagaan kanak-kanak sering dijadikan alasan...dan alasan ini seratus peratus diterima oleh masyarakat sekarang, jadi tenaga ibu dan ayah yang sudah tua digunakan untuk menjaga anak mereka.Sudahlah dari kecil kita dijaga mereka, dan bila kita dewasa, anak kita pula mereka harus jaga.

Saya amat sedih bila melihat ada ibubapa yang sudah tua masih bekerja mencari duit demi untuk meneruskan kehidupan.Jika ibubapa ini sebatang kara tiada anak,sudah pasti jabatan kebajikan yang akan mengambil alih tugasnya tapi bagaimana dengan ibubapa yang sudah ada anak,masing-masing bekerja tetapi bila sudah berkeluarga,tidak sanggup membelanjakan sedikit dari wang gaji untuk keperluan makan minum ibubapa.Faktor desakan hidup..hutang keliling pinggang dijadikan alasan tidak mampu memberi wang belanja untuk orang tua sendiri.Saya tersentuh hati...saya kasihan pada mereka yang tua ini seolah tiada anak yang berkerjaya.Lupakah kita bagaimana susahnya ibubapa membesarkan kita, menyekolahkan kita sehingga kita menjadi manusia yang pandai dan menyandang jawatan yang baik .Sememangnya ibubapa tidak pernah meminta agar kita memberi wang setiap bulan buat belanja harian mereka tetapi sebagai anak adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keperluan mereka tidak diabaikan.Jangan tunggu sehingga mereka tiada di dunia baru kita menyesali segala-galanya.Kasihani mereka...sayangilah mereka seadanya.


Tuesday, July 27, 2010

Jom Bowling !!


Penat....Petang tadi saya pergi main bowling. Balik saja dari kerja, singgah ambil Alya kat sekolah (tuisyen math kat sekolah) ,then terus singgah Bowling Center.Sebenarnya ada tournament hari ahad ni.So saya kena berlatihlah...memandangkan dah lama sangat tak main, score petang ni tak berapa baik...tapi takpe...never give up..esok berlatih lagi.Orang putih kata practice make perfect...yang selebihnya doa dan tawakal pada Allah.
Maaf entri kali ni ringkas saja...Saya penat sedikit dan malam ni pasti tidur awal.
Jumpa lagi....

Sunday, July 25, 2010

Tragedi Pulau Kidjang


M.V Pulau Kidjang merupakan sebuah kapal pengangkutan utama di Sarawak sekitar tahun 70-an dulu. Selain M.V Pulai Kidjang, terdapat juga kapal pengangkutan yg lain seperti M.V Rajah Mas yg berulang-alik dari Kuching-Sarikei-Sibu ketika itu. M.V Pulau Kidjang yg bernilai Rm320,000 ini dibeli dari Indonesia dan telah berkhidmat untuk penduduk selama 8 tahun sebelum terbenam di dasar muara Rejang.

Tragedi tersebut berlaku pada 27 Disember 1973. Pada ketika itu, penumpang seramai 159 orang tersebut kebanyakannya dalam perjalanan pulang ke Sibu selepas bercuti sempena perayaan Krismas. Kapal tersebut bertolak dari Kuching pada 26 Disember, jam 6.30 petang, lewat 30 minit daripada yg dijadualkan. Ia karam di perairan Tanjung Jerijeh, 3.5 batu nautika dari Barat Sarikei. Di situlah kubur tanpa nisan 80 penumpang M.V.Pulau Kidjang yang gagal menyelamatkan diri apabila kapal itu terbalik setelah dipukul ombak yang kuat sebelum melanggar beting pasir di Tanjung Jerijeh kira-kira jam 3 pagi.Tragedi malang ini mendapat publisiti meluas di dada akhbar terutamanya akhbar Inggeris tempatan ketika itu, The Vanguard bertarikh 28 Disember 1973.

Kejadian jam 3.00 pagi tersebut telah mengorbankan 121 jiwa. Hanya 41 mayat yg ditemui manakala selebihnya mati tanpa kubur. 38 orang terselamat termasuk 18 orang kelasi. Kebanyakkan mangsa mati akibat terperangkap di dalam kapal, ada yang lemas dibaham ombak ganas musim tengkujuh kerana terjun ke laut tanpa jaket keselamatan. Tuah menyebelahi sesetengah penumpang yg terdampar di pantai Kampung Gerigat apabila M.V Hornbill yg dalam perjalanan dari pekan Selalang menemui mereka. Peristiwa tersebut telah menjadi sejarah hitam dan igauan ngeri bagi mangsa-mangsa yg terselamat.

Peristiwa ini turut meninggalkan kesan kepada penduduk Sarikei apabila kebanyakkan penduduk disana tidak memakan ikan selama berbulan-bulan disebabkan terbayang mayat-mayat mangsa yg dimakan hidupan laut. Ada kes dimana penduduk menemui cincin, jam tangan butang baju, serta jari didalam perut ikan yg ditangkap.

Jika hari ini kita bertanya kepada anak-anak muda, tidak ramai yang mengetahui sejarah maritim negeri Sarawak ini.Ketika peristiwa ini berlaku saya pun belum lahir ke dunia lagi, tetapi semasa zaman kanak-kanak saya, arwah ayah dan ibu saya sering menceritakan peristiwa ini kepada kami adik beradik.Sememangnya peristiwa ini sentiasa segar dalam memori setiap warga tua di negeri Sarawak terutama kepada ahli keluarga mangsa yang kehilangan saudara mereka.
Semoga roh-roh mangsa dicucuri rahmat....Amin.

Thursday, July 22, 2010

Terima Kasih...


Petang itu saya hendak menunaikan solat Asar di tempat kerja...alangkah terperanjatnya saya bila melihat tikar dan sejadah saya habis basah kerana titisan air daripada aircond yang bocor...Pada petang itu saya menghabiskan masa hampir setengah jam untuk mencuci sejadah,tikar dan lantai yang basah.Jadi petang itu saya hanya menunaikan solat asar bila balik ke rumah.Memang sempat lagi, cuma saya suka mengerjakan solat di tempat kerja kerana risau jika saya akan tersinggah di mana-mana kedai semasa dalam perjalanan balik ke rumah.

Tempat solat saya bukanlah tempat yang betul-betul dikhaskan untuk solat.Memandangkan di tempat kerja saya (maaf tidak dapat dinyatakan) tiada bilik kecil yang boleh dijadikan mini surau jadi saya terpaksa menumpang di dalam satu bilik yang boleh saya katakan sebagai stor. Agak luas juga biliknya ,jadi adalah ruang sedikit di belakang saya buat sebagai tempat solat.Saya tidaklah kisah sangat,sebab yang penting tempat itu bersih.Saya alas dengan tikar dan di atasnya saya alas dengan sejadah.


Di sinilah saya menunaikan kewajipan saya kepada Allah SWT.

Kakak panggilan saya kepada salah seorang Cleaner di tempat kerja saya.seorang wanita dalam usia pertengahan dan berbangsa Iban(saya agaklah) dan non muslim.Kakak tu memang sentiasa sibuk dengan tugasnya dan saya tidak pernah meminta Kakak tu menyapu atau mengemop tempat solat saya. Saya pun tidak kisah juga sebab ruang solat saya sentiasa bersih.Tapi saya tidak menafikan,adakalanya kakak tu singgah juga di tempat solat saya dan menyapu lantai di situ. Setiap kali dia selesai membersihkan lantai, saya akan mengucapkan terima kasih padanya sebagai tanda penghargaan saya padanya.Kakak tu pasti akan tersenyum.Senang hati saya melihat senyumannya... walaupun pada mulanya saya agak risau kalau ruang solat itu akan menambahkan lagi kesibukan dirinya.

Kejadian 'Aircond leaking' berlaku lagi untuk kali kedua,tetapi kali ini saya terlebih-lebih terperanjat...kerana sejadah saya sudah dibersihkan dan tikar saya telah dijemur(digantung dengan elok)...Dan yang membuat saya rasa terharu,Kakak cleaner itulah yang bersusah payah membersihkan sejadah ,tikar dan lantai yang basah.
Selama ini , dalam kesibukan kita menjalankan tugas di tempat kerja...kita selalu lupa pada kehadiran tukang sapu mahupun cleaner yang selalu membantu membersihkan tempat kerja kita dan mengosongkan tong sampah kita hampir setiap hari...Tetapi berapa ramai yang mengucapkan perkataan terima kasih kepada mereka. Saya bukanlah hendak mengatakan saya ni baik sebab mengucapkan perkataan terima kasih itu...tetapi 'magic word' itulah yang selalu saya dan anak-anak praktiskan di rumah...Biarpun tidak menerima sebarang upah,tetapi ucapan terima kasih itu amat berkesan di hati...saya percaya kakak cleaner itu membantu saya kerana magic word yang selalu saya ucapkan padanya.Itulah hikmahnya disebalik ucapan 'Terima Kasih'..

Sunday, July 18, 2010

Kek Telur Semut


Hujung minggu ni saya tidak pergi ke mana-mana.Cuma duduk di rumah. Kedua puteri saya sibuk mengulangkaji di sebelah pagi ini.Putera bungsu pulak dengan dunianya yang tersendiri...bermain dengan koleksi keretanya.
Sebelum ni saya ada meminta salah satu resepi kek dari seorang rakan sekerja.Kek yang diberi nama Kek Telur Semut itu sungguh enaknya rasanya, kerana rakan saya itu pernah membawa kek tersebut ke tempat kerja dan kami makan bersama-sama kawan-kawan yang lain.Saya rasa kek tersebut dinamakan Telur Semut,mungkin disebabkan penggunaan bijan dalam resepinya.Biji bijan yang kecil itu seakan menyerupai telur semut.
Sebelum era kek lapis Sarawak popular, kek kukus adalah antara kek yang terkenal di Sarawak.Rasanya ada bermacam-macam jenis nama kek kukus yang adakalanya nama kek itu tidak berkaitan langsung dengan rupa mahupun bahan yang digunakan dalam kek tersebut.Sebagai contohnya Kek Saddam Hussein.Kek ini memang sedap sekali dan InsaaAllah,jika ada kesempatan saya akan berkongsi resepi kek ini dengan kalian di luar sana. Kenapa Saddam Hussein ? Saya sendiri pun rasa gelihati dengan nama ini..tapi menurut cerita, masa itu Saddam Hussein antara orang yang terkenal di dunia jadi namanya diambil untuk kek tersebut.kalau tidak silap saya kek Saddam Hussein ini agak famous pada tahun 90 an.
Berbalik kepada cerita kek Telur Semut. Saya akan menyediakankan bahan-bahan
yang digunakan.

Telur 10 biji
Mentega 200gm
Bijan 1 peket kecil
Susu Pekat 1/2 tin
Gajus 1 cawan(ditumbuk halus, kacang tanah pun boleh digunakan)
Vanilla 1 sudu teh
Horlick 1 cawan
Gula 1 cawan
Browning Sugar 2 sudu makan
Tepung gandum 1 cawan
Baking Powder 1 sudu kecil

Cara-cara membuatnya...


Gajus dan bijan digoreng tanpa minyak sampai kuning.Kemudian, gajus ditumbuk hingga halus.


Pukul mentega dan gula hingga kembang. (adunan A)


Telur,susu pekat dan horlick digaul sebati dalam bekas yang berasingan.(adunan B)


Kemudian masukan adunan B ke dalam aduanan A dan gaul hingga sebati.


Masukan tepung gandum dan baking powder ke dalam adunan tersebut.Selepas dimasukan browning sugar,adunan akan bertukar menjadi warna coklat kehitaman.Akhir sekali masukan bijan dan gajus ke dalam adunan. kacau adunan hingga rata.


Masukan adunan tadi ke dalam acuan.Saya menggunakan acuan segiempat dan terpulang dengan citarasa masing-masing hendak menggunakan acuan jenis apa.


Kemudian kukus kek ini selama 2 jam.Buat pengetahuan kek ini boleh juga dibakar.



Dah siap pun...sedia untuk dimakan terutama semasa 'tea time' dengan anak-anak.Bersedialah saya hendak menjawab soalan demi soalan yang akan mereka lontarkan,bila mana mereka tahu nama kek itu Kek Telur Semut.Pastinya bijan yang terdapat dalam kek itu akan menjadi jawapannya kelak.

Friday, July 16, 2010


Pagi ini selepas menghantar anak ke sekolah,saya seperti biasa melalui jalan yang sama untuk menuju ke tempat kerja.Cahaya matahari mula menerangi alam sekeliling,namun lopak-lopak air di jalan disebabkan hujan yang turun dengan lebatnya semalam masih lagi kelihatan.Itu hujan yang pertama dalam minggu ini, jadi pada hujung minggu lalu pasti ramai mereka yang ada kereta mencuci kereta termasuk juga saya.Seperti lazimnya yang dilakukan, setiap kali bertembung dengan jalan yang ada lopak air ini,pasti kereta akan bergerak sedikit ke kiri atau ke kanan untuk mengelak percikan dari lopak air yang bisa mengotorkan kereta mereka termasuk juga kereta saya apatah lagi kalau kereta berwarna hitam, kekotoran itu jelas kelihatan.

Hakikatnya...
Begitu jugakah kita dengan diri kita sendiri ? Alangkah bagusnya jika kita seperti kereta yang mampu mengelak dari kekotoran melekat di badan...mampukah kita mengelak diri kita dari berbuat dosa...Di sana ada dosa,di sini ada dosa,buat begitu berdosa,buat begini berdosa tapi kita hampiri jua...Mengapa ? Adakah jawabnya kerana kita manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan yang mengundang dosa...ataupun adakah kerana kita bukan nabi maka kita tidak boleh mencontohi akhlak Rasulullah , maka kita boleh sewenangnya bertindak sesuka hati tanpa mempeduli peraturan hidup yang telah Allah tetapkan.Ya Allah,sesungguhnya terlalu banyak dosa yang telah hambaMu himpun. Namun keampunan Allah itu amatlah luas...Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah peluang sentiasa ada untuk kita membaiki diri, memohon ampun,bertaubat kepadaNYA lantas berjanji untuk tidak mengulangi lagi.

Firman Allah yang maksudnya,
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri(dengan melakukan maksiat),kemudian ia memohon ampun kepada Allah,nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani..
(Surah An-Nisaa' ayat 110)

Menyentuh soal akhlak...sememangnya kita tahu Nabi Muhammad SAW adalah contoh seorang peniaga yang memiliki akhlak yang sangat tinggi dengan kejujurannya dalam berurus niaga.Saya kira dalam dunia kini tiada lagi manusia(peniaga) yang memiliki akhlak yang sedemikian rupa . Malah ramai yang sanggup menipu demi melariskan jualannya...tapi persepsi saya berubah bila satu hari saya berkunjung ke sebuah kedai runcit yang dimiliki oleh orang Melayu yang beragama Islam.Saya ingin membeli roti yang ada di kedainya.Bagi saya roti itu masih nampak elok. Tapi peniaga yang jujur itu menghalang saya mengambilnya dan memberitahu yang roti itu sudah 'expired'.Saya terkejut dengan situasi itu.Mungkin situasi ini adalah biasa bagi kita tapi kejujuran beliau sungguh berkesan di hati saya. Semasa keluar dari kedai tersebut,sempat lagi hati saya berbisik, rupanya masih ada lagi penjual yang memiliki akhlak yang jujur seperti Rasullullah.Alhamdulillah...

Monday, July 12, 2010

Jalan-jalan ke Canada Hill.


Berehat di rumah tanpa melakukan sebarang apa-apa aktiviti sesekali agak membosankan juga. Apatah lagi anak-anak saya, sudah pasti jalan-jalan menghirup udara petang menjadi agenda di fikiran mereka,setelah penat belajar...sesekali kena rehatkan minda juga.


Canada Hill terletak di bandar Miri merupakan mercu tanda bandaraya Miri.Muzium Petroleum yang pertama dibina di Sarawak terletak di atas Canada Hill.Miri juga digelar bandar minyak seabad lalu.


Di atas Canada Hill ini juga telaga minyak Miri yang pertama di temui dan ia dikenali sebagai Grand Old Lady.



Bersama putera puteri kesayangan saya.

Dengan gaya tersendiri.

Akmal tunjuk apa tu....?



Bangunan Muzium Petroleum. Di kawasan ini juga ramai pengunjung mengambil kesempatan berjogging sambil menikmati udara di atas bukit ini.

Kapsul masa.







Bandar Miri dilihat dari atas Canada Hill.

Indahnya ciptaanMu...senja melabuhkan tirainya...

Dari jauh, suasana semakin beransur gelap....Kami beransur-ansur pulang meninggalkan bukit ini.

Thursday, July 8, 2010

Debaran Kian Terasa.....


Debaran kian terasa untuk mengetahui pasukan manakah yang akan bergelar juara dunia...Sana sini orang bercerita pasal bola...masing-masing dengan pasukan pilihan...Di tempat kerja, bicara pagi yang pertama dengan teman sekerja sudah pastinya tentang bola termasuk juga saya...masing-masing ingin jadi pengulas sukan..tapi kebaikannya dengan ini dapat mengeratkan hubungan dan kemesraan dengan teman-teman sekerja...bertuah kan bila kita meminati perkara yang sama..Sekarang ni bola sepak bukan lagi permainan yang digilai oleh kaum adam sahaja,malahan kaum hawa turut tidak ketinggalan.


Awal pagi tadi perlawanan separuh akhir diantara pasukan German dan Sepanyol yang amat di nanti-nanti..saya sendiri dikejutkan oleh seorang teman yang kaki bola dengan misscalled...lawak juga saya rasa.Apa pun terima kasih kerana membangunkan saya...Dan akhirnya pasukan pilihan saya Sepanyol mara ke perlawanan akhir.Sepanjang hari saya tersenyum.Betapa hebat penangan bola..hehehe..


Pasukan Sepanyol berjaya melangkah masuk ke perlawanan akhir Fifa World Cup 2010.

Tiada Keraguan....


Fitrah seorang wanita,suka akan sesuatu yang cantik dan sudah pasti ingin dipandang cantik selalu.Saya juga tidak ketinggalan,mengenakan segala jenis tudung untuk digayakan dengan baju yang dipakai...tapi akhirnya saya membuat keputusan membuat perubahan pada diri saya. Bukan maksud untuk menarik perhatian orang pada saya tapi saya sedar tiba masanya saya kena kembali pada fitrah yang sebenar.Kecantikan wanita itu amat berharga dan bukan untuk diperlihatkan kepada umum.Dan ternyata pilihan kali ini adalah tepat dan tiada keraguan lagi.Dengan tudung labuh saya lebih rasa selamat dari pandangan mata yang tidak sepatutnya.Dan yang istimewanya, saya dapat memberi contoh yang baik pada anak-anak saya yang gemar bermain princess.Pada mereka saya katakan beginilah contoh puteri islam yang sebenar.(hehe perasan jadi puteri kejap...)


Di sini saya ingin berkongsi salinan tulisan Sdri. Fatimah Syarha, novelis Telaga Biru Sdn Bhd yang telah menghasilkan banyak novel Islami dan menarik. Ini ialah kisah beliau:

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan
garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil
menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

Itulah ceritanya...menarik sekali..Moga kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.

Saturday, July 3, 2010

Pilihan Kita Berbeza


Akmal dengan koleksi keretanya.

Hari Raya Aidilfitri akan tiba dalam tempoh dua bulan lebih saja lagi...bunyinya macam terlalu awal saya bercerita pasal hari raya sedangkan bulan Ramadhan pun belum tiba lagi,tapi bukan hari raya yang ingin saya ceritakan...cuma hari ini saya membeli kain untuk anak saya Alya, Asma dan Akmal untuk dibuat baju kurung dan baju melayu.Saya memilih warna 'light brown' untuk baju melayu Akmal dan warna yang sama untuk dibuat kain sarung pada baju kurung Alya dan Asma. Manakala untuk baju di atasnya saya belikan kain yang berbunga kecil dan warna bunga itu hampir sama dengan warna kain sarung mereka.Saya kira warna yang saya pilih ini sudah betul-betul match dan menarik sekali.

Namun apa yang berlaku setelah saya menghantar kesemua kain tersebut kepada 'taylor', anak saya Alya melahirkan rasa tidak puas hatinya. Mama, you should ask me first before you buy the kain...I think I don't like that color...Terkedu saya seketika,barulah saya sedar di mana silapnya saya kerana tidak meminta pendapatnya kerana saya kira kanak-kanak seperti Alya yang hanya baru berusia 8 tahun (coming soon next month) itu akan menerima apa saja pilihan yang saya buat.

Perkara begini mungkin pernah berlaku dalam kehidupan anda sekeluarga.Nampak seperti remeh-temeh tetapi sebenarnya tidak.Kanak-kanak di awal usia begitu mereka sudah pandai menilai yang mana cantik, yang mana buruk,yang mana baik dan mana satu yang jahat.Ibubapa adalah contoh yang terbaik...role model untuk anak-anak.Setiap perlakuan ayah dan ibu mereka samada baik atau buruk akan menjadi contoh kepada anak-anak.Sebagai contoh jika seorang ibu itu seorang yang suka menghina dan mencaci orang di hadapan anak-anaknya,tidak mustahil anak-anak juga akan memiliki keperibadian yang rendah seperti itu juga.Anak-anak ini adalah cermin kita sebenarnya.Mereka akan memantulkan balik apa saja yang kita pernah buat.
Firman Allah SWT:
"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah,yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka.Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar." (An-Nisa:9)


Puteri kesayangan mama.

Saya amat berbangga dengan anak saya Alya kerana dia berani menyuarakan rasa terkilan di hatinya di atas sikap saya yang tidak bertanyakan pendapatnya.Saya katakan begitu sebab sikap begini membentuk keyakinan dalam dirinya untuk berdepan dengan apa jua permasalahan dan bukannya memendam perasaan yang terbuku di hati.Sepatutnya saya bertanya kepada Alya,warna yang digemarinya kerana di kedai itu tadi ada banyak pilihan warna dengan pelbagai jenis bunga.Saya memohon maaf kepadanya dan seperti biasa jawapannya "it's ok mama"....aduhai anak mama....Inilah yang saya selalu 'practice' di dalam keluarga...memohon maaf tidak kira kepada yang kecil atau yang besar.Semoga amalan ini anak-anak saya akan bawa sehingga mereka dewasa kelak.
Alya, mama minta maaf,next time kita beli warna yang Alya suka pula ya...kita serupa tapi pilihan kita berbeza rupanya..

Thursday, July 1, 2010

We miss you, Yan...


Seawal 4 pagi saya dan kedua puteriku terpaksa bangun pagi ini.Mujurlah semalam mereka telah menikmati tidur yang panjang(jam 9 dah masuk tidur),jadi masalah untuk bangun itu tidak berlaku. Yan, panggilan anak-anak kami kepada ayah mereka...akan berlepas dengan penerbangan 6.20 pagi ini menuju ke Kuala Lumpur. Bermakna jam 5 pagi kami terpaksa keluar dari rumah menuju ke airport.Kemudian setelah tiba di Kuala Lumpur , Yan akan menaiki penerbangan jam 9.40 pagi menuju ke Perth,Australia.Mujurlah penerbangan ke Australia tidak memakan masa yang lama seperti yang biasa dilaluinya sebelum ini semasa hendak pergi kerja di Tunisia, Afrika yang memakan masa belasan jam !

Beginilah keadaannya, saya dan anak-anak terpaksa berpisah dari Yan demi tuntutan tugas Yan. Tahun ini genap 9 tahun usia perkahwinan kami dan sepanjang tempoh itulah saya kerap berpisah dari suami tersayang. Jika orang lain sentiasa ada suami di sisi dalam apa jua keadaan, tapi saya hanya ada anak-anak dan sudah pasti Allah bersama saya jua. Memang bukan mudah bagi saya , tapi alah bisa tegal biasa, akhirnya saya mampu harungi jua.Malahan suami yang jauh sentiasa menghubungi saya dan anak-anak. Anak-anak kami pula amat memahami ketiadaan Yan mereka.Jarang sekali mereka menimbulkan sebarang masalah kepada saya.Alhamdulillah...

Berjauhan dari suami,sudah pasti menimbulkan kegelisahan di hati.Risau dengan keselamatannya di tempat orang, apatah lagi di dalam dunia kini macam-macam perkara boleh terjadi.Saya hanya mampu berdoa dan berdoa...bergantung sepenuhnya dengan Allah.Saya percaya,jika saya jaga hubungan dengan Nya, pasti Dia juga akan menjaga saya dan anak kami dan menjaga suami saya di sana.

Andai dilihat dari sudut positif, perpisahan yang terjadi mampu menatijahkan kebaikan. Ketiadaan pasangan dirasakan bagai satu kehilangan. Perginya diiring doa, pulangnya ditunggu penuh setia. Saat jauh di mata, rasa rindu bertandang, menjadi tali kepada dua hati untuk saling mengenang. Menambah kasih, merimbun sayang.
Inilah manisnya perpisahan sementara.