Tuesday, June 29, 2010

Diari Kehidupan


Malam ini saya makan malam bersama suami di rumah seperti biasa,berlauk kari ikan pari,kobis digoreng dengan udang,buah kuini,nenas dan budu...sejak balik dari Kelantan saya kerap makan budu,buah kuini dan nenas dicecah budu sungguh menyelerakan sekali hinggakan suami saya menggeleng kepala dan berkata "even orang kelantan sendiri pun tak makan budu sampai macam ni sekali"...saya hanya ketawa,namun bagi saya gabungan rasa buah yg manis dan budu yang masin macam serasi sekali.Semasa makan,tiba-tiba teringat zaman kanak-kanak. saya berkata pada suami,masa kecil dulu kalau dapat makan kari ikan pari rasanya dah mewah sangat...mungkin masa tu pendapatan ayah yang kecil jadi kami tidak mampu hendak makan berlebih-lebihan lauk seperti keluarga orang lain. Emak selaku surirumah kena bijak mengatur belanja harian di rumah.Sebak seketika mengenang arwah kedua orang tua saya yang telah 9 tahun pergi mengadap Ilahi...

Bercerita lagi dengan suami saya..dulu kalau ayah dapat membeli hati lembu,emak akan goreng garing dengan kicap dan rasanya sungguh sedap.Patutlah orang kata banyak-banyak masakan yang kita rasa tak kan sama dengan air tangan emak sendiri.Mungkin inilah berkatnya air tangan emak...
Lepas saya bercerita, suami pula berkata, masa mereka kecil dulu kalau dapat makan ayam memang mewah sangat rasanya...maklum sajalah ayah kepada suami saya hanyalah seorang nelayan biasa ketika itu yang hidup bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan. Mungkin inilah yang dinamakan kehidupan,setiap orang,setiap keluarga ada ceritanya yang tersendiri...ada suka,ada duka..semuanya ujian dari Allah.Apa kuasa yang kita ada untuk mengubahnya.Semuanya di tangan Dia yang Maha Kuasa.

Bercerita lagi mengenai nasib,teringat saya pada adik saya di kampung yang sedang cuba membina kehidupan bersama isteri tersayang.Baru-baru ini malang menimpa mereka bila kontraktor yang diharapkan untuk mebuat rumah baru mereka telah lari tanpa menyudahkan kerjanya sedangkan duit gaji telah diberi.Dugaan lagi Allah beri..moga adik saya di sana diberi kekuatan.Bagi saya kami 5 beradik harus saling melengkapi dan memberi sokongan di antara satu sama lain,jadi itu lah yang cuba saya usahakan...harap begitu juga dengan abang,kakak dan adik yang lain.


Ketika entri kali ini diolah,saya membuat keputusan menghentikan seketika penggunaan facebook. 'Deactivate my account...but i'll be back'....itulah yang saya lakukan..bermakna saya tidak muncul dalam mana-mana 'wall' sahabat saya buat seketika.Sebenarnya akhir-akhir ini saya berasa sedih sedikit terkilan dengan penggunaan facebook oleh 'mereka' yang saya kenali.Secara jujurnya,saya masih boleh terima penggunaan facebook itu untuk jalan dakwah,menyebar atau memberitahu perkara-perkara yang membawa kebaikan,bertanya khabar,bergurau atau usik mengusik yang tidak melampaui batasan...ya itu saya boleh terima.Tapi bila mana facebook dijadikan bahan untuk 'mencarut' atau melepas geram dan rasa tidak puashati (menyindir),saya rasa sikap tersebut tidak menunjukkan sikap yang matang walau orang yang menggunakannya adalah seorang dewasa.Kadangkala ,saya terfikir,sudah hilangkah rasa malu bila terang-terangan menulis post yang tidak sepatutnya...bukankah itu mencerminkan akhlak anda. Saya bukanlah manusia sempurna yang tidak pandai melakukan kesilapan, tapi saya sentiasa cuba berusaha memperbaiki diri agar saya tidak mengulangi kesilapan yang sama.Saya akui dalam penggunaan facebook saya amat menitik beratkan siapa yang boleh masuk ke dalam ruang lingkungan 'My friend'.Ignore bukan maksud tidak sudi,ia cuma satu langkah berhati-hati.(saya pernah post ayat ini dalam facebook saya)

Sebentar tadi suami saya memberitahu tiket penerbangan beliau ke Perth, Australia sudah ada dalam emel,bermakna beliau akan pergi kerja keesokan harinya.(mmm...berjauhan lagi) Tapi InsyaAllah,saya boleh mengharunginya. Ini bukan pertama kali saya terpisah dari suami...sejak 9 tahun yang lalu,dari sejak selepas kahwin saya terpaksa akur pada situasi berjauhan dengan suami atas tuntutan tugas.Bila suami tiada di rumah,sayalah ibu,sayalah ayah kepada anak-anak kami.Alhamdulillah sepanjang tempoh itu,saya diberi kekuatan dan diberi kesihatan yang baik untuk menjaga anak-anak kami.Terima kasih Allah.

Friday, June 25, 2010

Uzar Ada di Miri...

Gembira tak terkata...itulah yang dapat saya rasa..apatah lagi suami yang peminat nombor satunya... Uzar ada di Miri. Kami tidak akan lepaskan peluang ini untuk bersamanya..moga banyak yang akan kami perolehi darinya...Terima Kasih Allah atas izinMu.



Insya Allah jika berkesempatan merakam detik-detik itu, saya akan publishkan di entri kali ni.



Masjid Darul Ehsan,Piasau, Miri.


26hb Jun 2010,bertempat di Masjid Darul Ehsan Piasau Miri, warga Miri amat bertuah kerana menerima kunjungan Ustaz Zaharuddin sekaligus sudi menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk balasan kebaikan itu berkat.
Ceramah yang saya kira disampaikan secara santai diselang seli dengan cerita-cerita yang mencuit hati tapi disebalik cerita sudah pasti ada mesej, ada moral yang beliau hendak tekankan.Beliau menyentuh dari semua aspek kehidupan manusia.Apa yang hendak ditekankan di sini, kita sebagai hamba Allah seharusnya hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah,barulah hidup itu mendapat kebahagiaan yang sebenar dan mendapat keberkatan dari Allah. Hidup mereka yang mendapat keberkatan Allah ini akan sentiasa bahagia, walau siapa pun mereka...kita selalu melihat orang yang berjawatan rendah, dengan family yang ramai dan kereta yang kecil, kita pasti beranggapan hidup mereka susah walhal mereka tidak merasa susah pun...kerana mereka mensyukuri rezeki yang mereka ada...kita orang luar pula yang memandai-mandai beranggapan begitu.tapi lain pula kisahnya kalau hidup tak mendapat berkat,walau sekaya mana pun anda,tetapi sentiasa runsing, bermuka masam dan tiada bahagia...


Sebenarnya amat banyak yang beliau sentuh yang melibatkan aurat wanita dan rumahtangga...tapi saya percaya anda pasti tahu kesimpulan ceritanya, hidup ini kena jalani dengan sebaik-baiknya dan berpandulah akan Al-Quran dan sunnah...InsyaAllah keberkatan itu akan diperolehi.

27hb Jun 2010.Jam 8 pagi. Bertempat di Pustaka Bahagian Miri.


Masih lagi bersama Uzar dalam programnya yang kedua dalam seminar yang bertajuk Formula Solat Sempurna.Dari sumber yang saya tahu sebenarnya Uzar ada program beberapa hari di brunei tetapi beliau telah sanggup datang ke Miri bila dijemput oleh pihak pengelola.Kesudian beliau untuk singgah di bandar Miri sekaligus menyampaikan ceramah dan berkongsi ilmu dengan kami di Miri amatlah dihargai.

Mengapa solat ?

-Solat amalan pertama yang dihisab.
-Solat asas kekuatan hubungan individu dengan Allah SWT.
-Solat asas kesempurnaan amalan yang lain.
-Solat yang terbaik adalah yang dilaksanakan dengan ilmu dan bukannya ikutan tanpa ilmu.
-Tanda keimanan penuh kepada baginda SAW adalah dengan mencontohinya.


Ustaz Zaharuddin sedang menyampaikan ceramahnya.

Perkongsian sebegini amat berguna untuk semua peserta demi memperbaiki dan mengindahkan lagi amalan solat ini .Biarpun agak kesuntukan masa,beliau cuba sedaya upaya menerangkan perihal perkara yang wajib dan sunat mengikut seperti amalan Rasulullah itu sendiri.Sessi soal jawab peserta dan Uzar agak "panas" sehinggakan moderator terpaksa menghentikan sessi tersebut kerana kesuntukan masa.



Kedua puteriku pun ada bersama...

Namun begitu,saya agak sedikit kesal dengan sikap sesetengah peserta yang turut bercerita ketika Uzar memberi penerangan, kerana bagi saya sikap sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan hadirin yang lain malahan ia juga seperti tidak menghormati penceramah yang sedang berusaha menyampaikan ilmunya.Semoga di masa-masa akan datang tiada lagi perkara sebegini rupa berlaku.Untuk mendapat keberkatan ilmu,kita seharusnya menghormati insan yang sudi berkongsi ilmunya dengan kita.


Majlis berakhir pada jam 1 tengahari.Sebelum itu sempat juga saya sekeluarga merakamkan gambar kenangan bersama Ustaz Zaharuddin.Terima Kasih daun keladi,Kalau boleh datanglah ke bandar Miri lagi...


Akhirnya suamiku dapat juga bertemu secara live dengan Uzar.

Sunday, June 20, 2010

Percaya Untuk Berjaya.


Esok 21hb Jun 2010, sekolah akan dibuka seperti biasa dan bermakna berakhirnya cuti sekolah semester 1. Hari ini kedua puteriku menyimpan dan menyusun kembali semua buku seperti yang telah dijadualkan.Cuti sekolah yang boleh dikatakan panjang ini selama 3 minggu telah digunakan dengan sebaiknya oleh kedua puteriku.

Selaku Ibubapa,saya dan suami telah mengadakan kem Bahasa Melayu ke atas mereka berdua.
Kenapa diberi nama sedemikian rupa ? Sebenarnya kami hendak menunjukkan kepada mereka berdua betapa saya dan suami amat memandang serius pencapaian mereka dalam matapelajaran Bahasa Melayu.Sebelum cuti yang lalu,Puteri Sulungku Alya mendapat markah B untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, sedangkan mata pelajaran lain Alya mendapat markah yang tinggi mengatasi kawan-kawan di dalam kelas. Sememangnya di dalam kelas Tahun 2 Bestari itu,persaingan terlalu sengit...Saya sebagai ibu berasa pilu bila mengesan ada suram di wajahnya bila tidak mendapat markah yang baik.Tapi kami tidak memarahinya kerana kami sedar kesilapannya banyak berpunca dari diri kami sendiri selaku ibubapa.Alya dan adiknya fasih berbahasa Inggeris dan sememangnya kami telah latih sejak dari kecil.dan sekarang penguasaan mereka dalam pemahaman Bahasa Melayu amat lemah.Banyak yang perlu diperbaiki.Sebab itu saya dan suami membuat pendekatan dengan mengadakan Kem Bahasa Melayu di dalam rumah sendiri sepanjang cuti ini. Mereka banyak didedahkan dengan menjawab latihan dalam Bahasa Melayu dan dibelikan buku-buku cerita dalam Bahas Melayu.Semoga ini akan meningkatkan lagi kefahaman mereka.

Puteri kesayanganku

Bila perkara sebegini terjadi,saya banyak bermuhasabah diri.Kita selalu inginkan yang terbaik dan kita ingat kita telah lakukan yang terbaik tapi itu bukan satu jaminan.Meletak satu perkara sahaja sebagai "Priority" , bukanlah sikap yang patut diamalkan. Kesempurnaan itu merangkumi semua aspek.

Kem yang kami adakan ini tidaklah mengambil masa yang lama dalam sehari...kerana kanak-kanak cepat bosan dengan satu perkara.Lebih-lebih lagi cuti sekolah.Sebolehnya kami tidak ingin mencuri zaman keriangan kanak-kanak ini bermain . Ada masanya kami belikan hadiah mainan (yang lebih kepada menguji minda) sebagai hadiah penat lelah mereka belajar.
Sesungguhnya dengan apa yang telah berlaku semoga ia akan terus menjadi pengajaran kepada kami sekeluarga dalam apa jua perkara.Belum terlambat untuk berubah jika ada kemahuan.Itu yang penting.

Hipokritkah Kalau Bergerak Ke arah Kebaikan ?


Ya, ada orang takut berubah kepada kebaikan kerana risau. Kadangkala bukan merisaukan kutukan orang. Diri sendiri itu pun mempersoalkan – tak hipokrit ke aku ni kalau berubah?

Ayat-ayat racun macam – aku kena jadi diri sendiri – akan mula merosakkan jiwa.

Hipokrit ke kalau jadi baik? Jadi baik ni, sama dengan tak jadi diri sendiri kah?

Siapa la pandai-pandai buat peraturan hodoh macam tu?


Kalau bab tak jadi diri sendiri, maka buat benda-benda tak elok itulah hipokrit

Kenapa tak nak berubah? Dia kata, tak nak jadi hipokrit. Dirinya suka benda-benda yang Allah larang, suka merokok, suka ponteng kelas, suka mencarut, suka couple dan sebagainya. Jadi, kalau berubah ni hipokrit. Not myself katanya.

Oh? Mana kamu tahu jahat/nakal/kurang aja/tak bagus tu adalah diri kamu yang sebenar?

Siapa ajar?

Tahu apa diri kita yang sebenar?

Saya bagi satu hadith, dan satu ayat Al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap bayi itu lahirnya di atas fitrah, ibu bapanya(suasana pembesarannya) lah yang menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi”

Kenapa Rasulullah SAW tak cakap: “Ibu bapanya(suasana pembesarannya)lah yang menjadikannya islam, yahudi, nasrani, dan majusi” ? Kenapa?

Sebab bayiu itu dilahirkan atas fitrah. Fitrah=Islam. Islam=baik.

Jadi, siapa kata menjadi baik itu hipokrit? Jadi jahat la hipokrit. Sebab jahat/nakal dan segala yang berkaitan dengannya itulah yang bukan diri kita sendiri.

Allah SWT pula berfirman:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Dia berfirman): Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar, kami menjadi saksi(mengakuinya)” Surah Al-A’raff ayat 172.

Ah, sebelum kita lahir lagi, fitrah kita adalah beriman. Fitrah kita adalah Islam. Fitrah kita adalah taat kepada Allah SWT. Sebab itu, pernah dengar kan kata-kata: “Bayi itu suci dari dosa?”

Jadi, nak kembali kepada kebaikan, nak bergerak menjadi hamba yang taat, di mana hipokritnya?

Masalah manusia senget akal

Masalah segelintir manusia adalah, apabila ada rakan mereka nak berubah, mereka akan hina-hina, kutuk-kutuk. Kata-kata berikut adalah yang biasanya keluar:

“Tak payah jadi baiklah. Kau ni memang dah tak ada harapan dah nak ikut geng-geng baik ni”

“Kau jangan nak tunjuk bagus la bro. Dunia belum terbalik lagi la”

“Hipokrit la kau ni. Jahat tu jahat la. Jadi baik buat apa?”


Ini penyakit paling kronik yang ada dalam masyarakat kita. Tengok sahabat dia jadi baik, dia tak senang, dia rasa sempit, dia rasa gusar. Dia mewarisi sikap satu makhluk ni. Makhluk apa?

Iblis. Iblis, syaitan dan konco-konconya memang akan rasa sempit hati bila nampak orang bergerak ke arah kebaikan. Dia rasa bengang, rasa marah dan rasa sangat-sangat la bengkek bila tengok orang buat baik. Sebab, tujuannya atas muka bumi ni terganggu. Semasa dia dilempar keluar dari syurga, dia telah bersumpah kepada Allah SWT:

Allah SWT berfirman:

“Iblis pun berkata: Oleh kerana Kau telah menyebabkan aku tersesat, maka sesungguhnya aku akan mengambil tempat menjadi penghalang mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan serta kiri mereka, dan Engkau akan mendapati tidak ramai dari mereka yang bersyukur” Surah Al - ‘Araff aayat 16-17.

Tapi benda ni, kalau cakap pada pengutuk-pengeji ni, mereka tidak akan faham.

Maka, jadikan ini inspirasi, kekuatan kepada yang nak merubah diri, agar terus sabar dan tabah. Hendak kembali kepada fitrah, hipokrit apanya?



Bukan boleh terus jadi malaikat

Kepada yang nak berubah, jangan rasa susah hati kalau ada masanya anda jatuh semula. Terbuat salah lama. Memang itu resminya kehidupan manusia. Imannya turun naik. Tak ada manusia yang tersedar-sedar terus jadi baik macam malaikat.

Tak ada. Melainkan kamu boleh jumpa situasi itu di dalam drama dan novel sahaja.

Manusia biasa, paling kurang akan tetap ada sisa-sisa jahiliyyahnya. Lambat untuk membuang semuanya.

Tetapi ini bukan alasan berputus asa.

Sebab itu saya suka tunjukkan kamu kisah pembunuh kepada 100 orang. Dia telah membunuh 100 orang, tetapi dia masih berusaha bertaubat kepada Allah. Akhirnya Allah memasukkannya ke dallam syurga, tanpa dia sempat bertaubat. Dia hanya baru hendak bergerak ke tempat taubat sahaja. Itulah dia maknanya, keampunan Allah meluasi kemarahan-Nya.

Ketahuilah, kepada orang yang hendak berubah, Allah amat mencintai kalian.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.

Apa la kisahnya dengan kritikan orang ramai, jika hendak dibandingkan dengan kasih sayang Allah?


Penutup: Usah peduli orang lain. Bergerak terus ke arah perubahan

Bila nak berubah, jangan teragak-agak. Niat berubah kena jelas, menuju kepada Allah semata-mata. Tidak berubah kerana perempuan, tidak berubah kerana kawan, tidak berubah kerana yang lain-lain. Berubah hanya kerana Allah SWT.

Dengan ini, kalau satu dunia menyisihkan anda kerana perubahan anda, anda tetap tenang dan sabar, teguh dan tabah.

Bergeraklah terus ke arah perubahan.

InsyaAllah, Allah SWT tidak akan mengecewakan hamba-hamba-Nya yang mendekati-Nya.

Saya tutup artikel ini dengan surah penenang jiwa. Dalami maknanya ya.

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu yang memberati tanggunganmu? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” Surah Asy-Syarh ayat 1-8

Thursday, June 17, 2010

Cuti Sekolah Datang Lagi...

Cuti sekolah yang sepatutnya bermula pada 7hb Jun 2010 hingga 20hb Jun 2010 telah bermula lebih awal kerana kebetulan cuti tu dekat dengan perayaan Gawai Dayak yang disambut di seluruh Sarawak pada 1hb June hingga 2hb Jun.Sungguhpun begitu, seperti biasa setiap sekolah kena membuat kelas gantian pada setiap hari sabtu sebelum cuti bermula.



Cuti sekolah ni kali ni,keluarga abangku datang berkunjung bersama anak mereka "The Twin".Inilah gelagat mereka bila bersama....


Putera bungsuku terpaksa mandi sorang kat kolam kecilnya...


Akmal yang suka berendam..
5A United...Alya,Adibah,Asma, Aqeem and Adilah.


Riangnya mereka..
Dinner time...Semua lapar lepas mandi kolam..

17hb June, Abangku sekeluarga berangkat pulang ke Sibu beserta dengan Twin mereka. Sunyi seketika rumah ini ...Bagai hilang suara keriuhan budak bermain dan berkejaran di sana-sini...Tapi setiap keluarga ada tanggungjawab masing-masing.Ada amanat yang perlu ditunaikan.InsyaAllah, kalau ada izin Allah kita akan berkumpul lagi untuk merapatkan ukhuwah di dalam keluarga.

Wednesday, June 9, 2010

Terbang ke Serambi Mekah.....

Assalamualaikum..



5hb Jun 2010 terbang ke New Castle...sebenarnya ke Kota Bharu, Kelantan.Saya menaiki penerbangan MAS awal pagi ke Kuala Lumpur dan berlepas ke Kota Bharu pada sebelah tengahari.Alhamdulillah mendarat dengan selamatnya.

GAMBAR-GAMBAR SEMASA 'PENGEMBARAAN' SAYA DI NEGERI YANG UNIK INI.

Saya diberitahu setiap hari Jumaat,kawasan ini akan ditutup kerana ceramah agama akan diadakan di perkarangan letak kereta disini.Saya tiba di bandar ini pada hari Sabtu dan saya amat kecewa kerana 'missed' untuk bersama-sama menghadiri ceramah di sini.InsaaAllah,mungkin ada kesempatan di masa-masa akan datang.

Sekitar 8 pagi kawasan ini mula sibuk dengan kereta dan peniaga.

Pasar Besar Siti Khadijah.Uniknya di sini ramai para peniaga terdiri dari kaum wanita.

Serunding ayam,daging dan ikan.

Dodol yang sangat enak rasanya...

Pelbagai jenis keropok dan kuih muih tradisional yang sentiasa menarik perhatian para pembeli.

Penat berjalan saya singgah di gerai makan bawah bangunan MPKB.Segelas teh 'o' ais untuk menghilangkan dahaga dan semangkuk mee sup untuk mengalas perut pada hari itu.

Berlatar belakangkan mercu tanda Kota Bharu.

Bank Pitis merupakan bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar,Kota Bharu.Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis(pitis bermaksud wang dalam dialek Kelantan)perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.Dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad 111 sekitar tahun 1889-1890.

Istana Balai Besar Kota Bharu.Dibina pada tahun 1840 oleh sultan Muhammad 11.Merupakan asal-usul nama Kota Bharu.Perkataan "Kota" tersebut merujuk kepada "Istana Balai Besar" yang dibina oleh Sultan Muhammad 11 sebagai ganti istana baginda yang rosak oleh hakisan di suatu lokasi yang lain."Bharu" merujuk kepada "kota" yang baru dibina sekaligus bukan sahaja menjadi gelaran kepada istana tersebut malah secara rasminya telah menjadi nama kepada ibunegeri Kelantan sehingga kini.

Pintu gerbang Istana Balai Besar.

'IN MEMORY OF THOSE WHO WENT FROM KELANTAN AND LOST THEIR LIVES IN THE GREAT WAR,1914-1918'

Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Bank Kerapu ini dibina pada tahun 1912.Fungsi asalnya adalah sebagai bank perdagangan.Bangunan ini pernah digunakan sebagai ibu pejabat kempetai(polis rahsia) Jepun semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1942-1945.





Pantai Cahaya Bulan yang tidak putus-putus dengan para pengunjung.

Singgah makan malam di Mee Kpg Pek.

Menu utama saya dan adik-adik pada malam tu mee kuah dan teh tarik...Sedap...

SEKITAR MAJLIS PERKAHWINAN TEMAN-TEMAN DI BACHOK,KELANTAN.

Inilah salah satu tujuan kehadiran saya di tanah yang mendapat jolokan nama serambi Mekah ini.Menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan yang pernah sama-sama bertugas dulu.












Sempat singgah...Senja di Pantai Bachok.Ya Allah,menjelanglah kini malamMu,beredarlah sudah siangMu,maka ampunkanlah segala dosaku.

JALAN-JALAN KE RANTAU PANJANG

Tidak sah rasanya perjalanan saya ini kalau tidak singgah di Rantau Panjang.Daerah ini bersempadan dengan negara Thailand jadi kebanyakan barang-barang yang dijual adalah dari Thailand.Ada sesetengah barang yang diletak harga yang agak tinggi dan terpulang dengan kebijaksaaan pelanggan untuk melakukan proses tawar menawar.





Bersama Ummi,Adik Bahiah dan Haris.

Singgah solat di Masjid Rantau Panjang yang terkenal dengan panggilan Masjid Beijing kerana rekabentuk dan struktur masjid ini seperti Chinese Pagoda.

Keunikan Masjid Beijing.







Bersama Ummi sekeluarga yang menemani perjalanan saya ke Rantau Panjang.


PENGHARGAAN
Rumah keluarga kepada seorang sahabat.Terima kasih kepada Pakcik Abdullah sekeluarga yang melayan saya dengan baik dan mesra.Biarpun baru bersua tapi ukhuwah mudah terjalin erat.Syukur Alhamdulillah ditemukan dengan orang yang baik-baik.

Syukur padamu Ya Allah diatas jalinan Ukhuwah ini. Mengabadikan kenangan bersama keluarga ummi dan keluarga Pakcik Abdullah.

Terima Kasih jua pada ummi sekeluarga terutama adik Hazmi dan Bahiah yang menjadi 'tourist guide' dan melengkapi perjalanan saya di bumi serambi Mekah ini.Budi baik kalian tetap dikenang sampai bila -bila dan hanya kepada Allah sahaja saya serahkan untuk membalasnya...

Saatnya sudah tiba untuk berangkat pulang ...meninggalkan seribu kenangan yang terindah di Negeri Kelantan ini.Semoga kita akan berjumpa lagi di lain masa dan ketika.

Terima kasih Ya Allah memudahkan perjalananku ini.Hakikatnya perjalanan hidupku masih terlalu panjang,masih mencari ruang dan kesempatan untuk diri ini...Hanya Engkau saja yang tahu...hidup ini adalah satu kembara...kembara mencari sinar cahaya,petunjuk dari Yang Maha Esa.