Sunday, April 18, 2010

SIKSA MENINGGALKAN SOLAT


Besarnya ibadat solat berbanding ibadat lain sehinggakan Rasulullah SAW menerimanya daripada Allah SWT secara langsung pada malam Israk dan Mikraj tidak seperti ibadat lain yang diterima dengan perantaraan malaikat Jibril(a.s).

Betapa kasihnya Rasulullah SAW dan bimbangnya akan kemampuan dan kesanggupan umatnya untuk melakukan ibadat solat hinggakan sanggup berulangalik meminta dikurangkan bilangan solat yang asalnya 50 waktu hingga akhirnya tinggal 5 waktu.

Demikian kasihnya Rasulullah SAW pada kita tapi kita sebagai hamba Allah ini masih lalai dan sentiasa beralasan untuk tidak mengerjakan ibadah solat ini...Perkongsian ini adalah tanda kita saling mengingati antara satu sama lain...dan sama ertinya saya mengingati akan diri saya sendiri.

Firman Allah SWT bermaksud:
" Celakalah bagi orang yang solat yang mereka itu lalai daripada
solatnya." (al-Ma'un: 4-5)

Sedangkan orang yang menunaikan solat dalam keadaan lalai masih lagi celaka apatah lagi orang yang tidak langsung menunaikan solat maka terlebih celaka dan terlebih murka Allah ke atas mereka itu.
Sesiapa yang meringan-ringankan solat maka baginya 15 siksa iaitu 6 di atas dunia,3 ketika menghampiri mati, 3 di dalam kubur dan 3 ketika bertemu dengan Allah.



Enam siksa di atas dunia adalah:



  1. Diambil Allah akan berkat daripada umurnya.

  2. Diambil Allah akan berkat rezekinya.

  3. Dihapus oleh Allah akan tanda orang soleh dari wajahnya.

  4. Tidak terpelihara baginya agama Islam

  5. Tiap-tiap amal kebajikan yang dilakukan tidak diterima.

  6. Tidak diangkat (diterima) doanya.

Tiga siksa ketika menghampiri mati :



  1. Mati dalam keadaan hina.

  2. Mati dalam keadaan sangat lapar.

  3. Mati dalam keadaan sangat dahaga hingga jika dituang segala air di dalam dunia belum dapat menghilangkan dahaganya.

Tiga siksa di dalam kubur:



  1. Allah menyempitkan kuburnya.

  2. Didatangkan Malaikat Munkar dan Nakir menyiksanya hingga hari qiamat dan adalah pada tangan kedua malaikat itu cemeti daripada besi(maka) adalah tiap-tiap kali pukul itu tertanam mayat 70 hasta lalu dikeluarkan (dikorek) pula dengan kukunya lalu dipukul lagi dan berterusanlah hingga qiamat.

  3. Disiksa dengan beberapa ular yang bernama Syuja' yang matanya daripada api neraka.

Tiga siksa ketika bertemu dengan Allah:



  1. Allah SWT menyuruh Malaikat Azab membawa rantai 70 hasta panjangnya digantungkan pada lehernya, maka dimasukkan rantai itu ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya dan diheret atas mukanya dan belakangnya dan berkata Malaikat," inilah balasan orang yang meninggalkan solat fardhu yang wajib ke atasnya" dan dihumbankan ke dalam neraka.
  2. Tiada memandang Allah SWT kepadanya dengan pandangan rahmat.
  3. Baginya siksa yang amat pedih.

Inilah balasan bagi umat yang degil dan keras hati. Dan hendaklah kita meminta pertolongan kepada Allah dalam menunaikan ibadat solat semoga kita terselamat daripada azab yang dijanjikan itu.

"kami berlindung denganMu ya Allah, daripada malas dan segan serta lalai dan lupa dalam mengerjakan ibadat dan kami berlindung denganMu daripada murkaMu dan azabMu.Amin ya Rabbal Alamin".




No comments:

Post a Comment